Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Menteri harap tangkap bookie, pemain jadi pengajaran
Diterbitkan:  Apr 7, 2017 5:54 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan penahanan seorang bookie dan tiga pemain Malaysian Indian Sports Council-Malaysian Indian Football Association (MISC-MIFA) bagi membantu siasatan dakwaan mereka terlibat mengatur keputusan perlawanan, semalam.

Khairy juga yakin MIFA dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan polis berhubung siasatan kes itu, seterusnya mencegah gejala negatif itu daripada terus menular.

"Biarlah kes ini menjadi pengajaran kepada mana-mana pemain serta pasukan lain, dan saya yakin hanya tindakan undang-undang mampu mengatasi masalah rasuah atau bookie," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran larian obor KL2017 di Putrajaya hari ini.

Terikut-ikut gaya hidup mewah pemain pasukan lain mungkin punca pemain kelab MISC-MIFA terjebak menerima rasuah atau sogokan untuk mengatur keputusan perlawanan, katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas yang diberikan Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam, yang juga Presiden MIC, bahawa kelab milik MIC itu tidak mempunyai peruntukan yang besar dan pemain tidak dibayar gaji tinggi.

"Saya juga dimaklumkan kemungkinan kes ini berlaku selepas kelab itu layak beraksi di Liga Perdana tahun ini dan pemain-pemainnya mula mendapat perhatian," katanya.

SPRM menahan tiga pemain MIFA termasuk seorang pemain import semalam kerana dipercayai mengambil rasuah daripada bookie, diikuti dengan penahanan seorang pekerja kedai besi buruk dipercayai sebagai bookie yang menawarkan sejumlah wang dengan nilai ribuan ringgit kepada pemain kelab MISC-MIFA untuk menentukan perlawanan.

Kesemua suspek kini direman tujuh dan enam hari bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang membawa kepada hukuman denda lima kali ganda nilai suapan dan penjara 20 tahun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS