Dua jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan akan mengulangi pertemuan 11 tahun lalu di Kuching, Sarawak pada aksi akhir Terbuka Malaysia 2017.

Chong Wei yang berdepan wakil Hong Kong, Vincent Wong Wing Ki di separuh akhir, sebentar tadi tidak mengalami masalah besar untuk mengiringi Lin Dan ke pentas akhir.

Pemain berusia 34 tahun itu mencatat kemenangan mudah 21-12, 21-9 mengatasi Wing Ki dalam aksi 40 minit.

Terdahulu, Lin Dan sudah menanti seteru tradisinya yang juga wakil tunggal Malaysia itu selepas mengenepikan pemain Korea Selatan, Son Wan Ho 27-25, 19-21 dan 21-16, petang tadi.

Debaran hebat pastinya untuk melihat kelincahan antara Chong Wei dan Lin Dan yang menggalas misi masing-masing, esok.

Chong Wei mensasarkan kejuaraan ke-12 di kejohanan itu, manakala jaguh dari China itu pula mahu menjuarainya buat kali pertama.

Aksi berdepan Wong Wi Ki tadi pada awalnya menyaksikan pemain 27 tahun itu cuba mencabar Chong Wei.

Namun, ketangkasan dan pengalaman Chong Wei sukar dinafikan sekali gus menamatkan kemenangan set pertama dengan 21-12.

Set kedua pula, asakan demi asakan Chong Wei ditiup dengan teriakkan semangat para penyokong yang melaungkan namanya 'Lee Chong Wei' dan 'Malaysia Boleh'.

Chong Wei terus mendominasi permainan di pertengahan set kedua, 11-2 sebelum mudah menamatkan perlawanan dengan kemenangan set kedua, 21-9. 

"Bagi saya, (pertemuan) ini bagus selepas sebelas tahun dulu di Sarawak dan sejak itulah kami selalu bertemu di perlawanan akhir. Bukan untuk saya seorang, mungkin seluruh dunia telah menunggu kami di perlawanan akhir.

"Saya akan buat yang terbaik untuk perlawanan akhir esok buat semua dan harap peminat akan datang ke stadium untuk menyokong," katanya Chong Wei pada sidang media selepas perlawanan itu.

Chong Wei baru berusia 23 tahun ketika bertemu Lin Dan di perlawanan akhir Terbuka Malaysia  2006 yang juga diadakan di Stadium Perpaduan Negeri, Kuching, Sarawak.

Pertemuan esok adalah perlawanan ke-38 buat mereka dengan rekod Chong Wei memenangi 12 perlawanan, manakala Lin Dan memenangi 25 perlawanan.