Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Langkah FAM minta SPRM pantau Liga M tepat - Khairy
Diterbitkan:  Apr 22, 2017 2:20 PM
Dikemaskini: 6:27 AM

Langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau semua pemain, pengadil dan pegawai pasukan yang terlibat dalam Liga Malaysia adalah tindakan proaktif untuk membanteras gejala rasuah.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata langkah Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyerahkan senarai nama mereka yang dalam perhatian untuk dipantau SPRM adalah tepat.

"Kita nampak langkah proaktif FAM yang tidak menunggu siasatan tetapi mengambil inisiatif menghantar senarai mereka yang ada dalam perhatian, ini membantu SPRM memantau dan menyiasat lebih awal," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Separuh Maraton Antarabangsa Kelantan (KIHM) di Kota Bharu hari ini.

Khairy mengulas laporan akhbar hari ini mengenai langkah Tunku Ismail meminta SPRM memantau pemain, pengadil dan pegawai pasukan yang terlibat dalam Liga Malaysia ketika isu mengatur perlawanan kembali mencemar imej bola sepak negara.

Tunku Ismail juga telah menyerahkan senarai nama dan butir peribadi pemain, pengadil dan pegawai pasukan kepada SPRM.

Dalam usaha memastikan gejala rasuah tidak merebak dalam persatuan sukan, Khairy berkata pihaknya telah menghantar isyarat jelas dan tegas kepada semua persatuan sukan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dilindungi daripada siasatan jika ada kaitan dengan rasuah.

"Baru-baru ini kita adakan program dengan SPRM melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan telah dilakukan ikrar bebas rasuah," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata KIHM yang julung kali diadakan di Kelantan akan dijadikan acara tahunan selaras dengan usaha kementeriannya menggalakkan gaya hidup sihat, kecergasan dan semangat kesukanan kepada rakyat negeri ini.

KIHM yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM80,000 menarik penyertaan kira-kira 8,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Pelepasan peserta dilakukan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. -Bernama

Lihat Komen
ADS