Skuad bola keranjang Malaysia mencipta sejarah apabila menundukkan gergasi Asia, selepas seminggu percubaan untuk menjuarai kejohanan bola keranjang FIBA Asia 3X3.

Skuad lelaki mengalahkan pasukan Filipina dalam pusingan awal bagi membuka lembaran baru dalam perkembangan bola keranjang Malaysia.

Manakala skuad wanita yang memungut pingat perak menjadi antara pasukan terbaik Asia yang bukan lagi dipelopori negara Asia timur seperti China, Taiwan dan Jepun.

Pada masa yang sama, mereka juga mampu mengalahkan Jepun, juara bertahan 3X3 dalam saingan pada suku akhir.

Pada penghujung kejohanan itu, skuad lelaki kebangsaan menduduki tempat keenam keseluruhan manakala skuad wanita mendapat tempat kedua selepas ditewaskan oleh Indonesia dalam perlawanan akhir.

Tetap bangga

Ketika ditemui Malaysiakini, jurulatih skuad lelaki Ramesh Chandra berkata beliau tetap berbangga dengan prestasi pemain yang walaupun gagal menundukkan pasukan Lubnan dalam suku akhir, tetapi memberikan aksi terbaik ketika menentang Filipina.

Ramesh juga berkata skuad lelaki kebangsaan hanya mempunyai masa sebulan untuk menghadapi FIBA Asia 3X3 dengan sasaran awal menjadi antara empat pasukan terbaik.

"Dalam 3X3, pasukan yang terbaik saja yang akan menang kerana hanya 10 minit sahaja dalam mana-mana perlawanan atau mendapat jaringan 21 mata. Sebab itulah perlawanan 3X3 banyak perbezaannya dengan perlawanan lima pemain," tambah beliau lagi.

"Untuk rancangan seterusnya, MABA akan menumpukan perhatian dalam 3X3 dari segi pembangunan dan latihan. Kita akan menghantar pasukan ke kejohanan 'World Tour' dan mungkin di negara lain juga untuk mengumpul mata dan ranking. Inilah caranya untuk layak ke kejohanan sedunia," kata Ramesh.

Tidak mustahil jadi juara

Bagi jurulatih skuad wanita Choo Seck Yun, beliau sering mengingatkan anak buahnya untuk memberi saingan yang terbaik walaupun sukar.

Berdepan dengan skuad terbaik Asia seperti Jepun, pasukan Malaysia membenamkan mereka untuk ke perlawanan akhir dan ia merupakan prestasi terbaik setakat ini.

"Bukannya mudah menyaingi juara Asia seperti mereka. Indonesia dan Malaysia membuktikan bahawa tiada lagi status quo yang umumnya negara-negara Asia Timur menguasai acara bola keranjang. Kini, kami boleh gah menunjukkan pasukan Asean juga boleh menjadi terbaik di Asia," kata Choo kepada Malaysiakini.

Selain persediaan menghadapi Sukan Sea pada Ogos nanti, skuad wanita kebangsaan juga sedang berlatih untuk layak ke kejohanan FIBA Asia wanita bawah 16 tahun di Bangalore, India pada bulan Oktober.

"Kami baru sahaja menamatkan latihan intensif selama 10 hari di Jepun dan akan beraksi dalam kejohanan jemputan MABA pada bulan Jun nanti," ujar Choo.