Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
BAM umum skuad badminton Sukan SEA minggu depan
Diterbitkan:  Jun 2, 2017 5:04 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memutuskan skuad negara ke temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini, pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) badan induk itu, Khamis depan.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemain perseorangan lelaki kedua negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dijangka mengetuai cabaran negara ke temasya sukan dwitahunan itu yang dijadualkan berlangsung dari 19-30 Ogos ini.

Beliau menjelaskan badan induk itu memutuskan untuk menggugurkan Zulfadli Zulkiffli memandangkan pemain profesional negara itu sudah mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland dari 21-27 Ogos ini.

Beberapa pemain elit negara termasuk jaguh perseorangan Datuk Lee Chong Wei tidak akan beraksi pada Sukan SEA 2017 memandang beliau akan beraksi pada Kejohanan Dunia dari 21 hingga 27 Ogos manakala acara badminton pada Sukan SEA dijadual dari 23 hingga 30 Ogos ini.

"Kita masih dalam perbincangan kerana tarikh akhir (pengesahan penyertaan) ke Kejohanan Dunia baru sahaja berakhir...kita perlu muktamadkan (senarai penuh pemain Sukan SEA) kepada Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak lama lagi," katanya.

Mohamad Norza, yang juga Timbalan Presiden MOM, berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media oleh Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaáfar mengenai lawatan Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Sukan Komanwel, David Grevemberg di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata BAM tidak berhasrat menurunkan pemain elit negara pada Sukan SEA di sini walaupun Thailand dilaporkan bakal menyenaraikan beberapa pemain elit mereka.

"Saya masih yakin kita mempunyai pemain-pemain (muda) yang bagus dan berkaliber untuk membawa cabaran negara di Sukan SEA namun dari segi persediaan kita perlu rapi kerana sebagaimana yang saya katakan tadi cabaran daripada negara lain agak hebat terutamanya Thailand," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Norza menjelaskan nasib beberapa pemain beregu negara termasuk pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem/Tan Wee Kiong akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat yang sama.

Beliau menegaskan pihaknya perlu mendapatkan maklum balas daripada jurulatih beregu lelaki, Jeremy Gan pada mesyuarat berkenaan sebelum mengambil tindakan selanjutnya ke atas pasangan tersebut yang mempamerkan aksi hambar dalam beberapa kejohanan sejak kebelakangan ini.

"Proses yang sama turut akan berlaku pada (beregu wanita utama negara), Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei. Saya sudah bagi tahu (Pengarah Teknikal BAM), Morten Frost Hansen bahawa sekiranya pemain kita hendak diketengahkan, mereka perlu mempunyai satu perancangan kukuh dalam memberikan keyakinan untuk terus kekal bersama," tegas Mohamad Norza.

-Bernama


 

Lihat Komen
ADS