Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai gagal dalam usaha mereka meraih gelaran antarabangsa pertama musim ini selepas dikejutkan pada aksi final Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Thailand, hari ini.

Pasangan pilihan kelima itu yang muncul naib juara pada kejohanan Masters Malaysia Januari lepas, tumpas 13-21, 21-16 dan 12-21 kepada gandingan kurang ternama dari China, He Jiting-Du Yue pada perlawanan akhir berlangsung di Stadium Nimibutr di Bangkok, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfbadminton.com.

Cabaran Malaysia dalam tiga kategori pada kejohanan itu - beregu lelaki serta perseorangan dan beregu wanita - berakhir di pusingan awal, manakala Soong Joo Ven tewas kepada pilihan keempat, Jonatan Christie dari Indonesia di separuh akhir perseorangan lelaki, semalam.

Dalam pada itu, Indonesia meraih dua gelaran pada kejohanan berkenaan - beregu lelaki dan beregu wanita.

Gandingan pilihan kelima, Berry Angriawan-Hardianto Hardianto menumpaskan Raphael Beck-Peter Kaesbauer 21-16 dan 21-16 dalam acara beregu lelaki, manakala Greysia Polii-Apritano Rahayu yang juga pilihan kelima, menewaskan pasangan tuan rumah, Chayanit Chaladchalam-Phataimas Muenwong 21-12 dan 21-12 dalam kategori beregu wanita.

Thailand pula meraih kejuaraan dalam acara perseorangan wanita menerusi pemain utamanya, Ratchanok Intanon yang mengalahkan rakan sepasukan yang juga pilihan keempat, Busanan Ongbamrungphan, 21-18, 12-21 dan 21-16.

Bagi perseorangan lelaki, pilihan ketiga B. Sai Praneeth dari India menewaskan Jonatan 17-21, 21-18 dan 21-19.

- Bernama

Lihat Komen
ADS