Ronaldo tak goyang dikritik peminat
Di tengah kecaman peminat terhadapnya, penyerang Real Madrid Cristiano Ronaldo, tidak membalas kritikan itu dengan kata-kata.
Sebaliknya pemain kebangsaan Portugal itu membalas kata-kata kesat terhadapnya dengan 'kaki'. Ia dibuktikan oleh Ronaldo pada perlawanan akhir piala Liga Juara-juara awal pagi semalam.
Ronaldo menjaringkan dua daripada empat gol skuad berkenaan sekali gus membenam lawan, Juventus, 4-1.
"Saya fikir mereka tidak ada kata-kata untuk mengkritik sebab angka tidak menipu," katanya.
Pemain berusia 32 tahun itu gagal memuaskan hati sesetengah peminat kerana dianggap tidak lagi berada pada tahap terbaiknya.
Malah peminat Real sendiri menyoraknya pada beberapa ketika.
Namun hakikatnya Ronaldo tetap berbisa. Dia menjaringkan 42 gol melalui pelbagai kejohanan disertainya pada musim ini, termasuk 12 ketika menyertai Liga Juara-juara.
Dia juga menjaringkan gol ke-600 untuk kelab itu pada perlawanan akhir Liga Juara-juara itu.
Di peringat La Liga, Ronaldo mengalami kekurangan 12 gol berbanding penjaring terbanya, Lionel Messi, yang menyumbat 37 gol.
Tempat kedua pula diisi seorang lagi pemain Barcelona, Luis Suarez, dengan 29 gol. Bagaimanapun kelab Ronaldo kekal menjadi juara pada musim ini.
Pada usianya kini, sudah mula ada peminat yang meragui kemampuannya menjadi sebagai seorang daripada pemain terbaik dunia.
"Umur saya cuma nombor. Saya berasa seperti orang muda sekarang. Saya sangat gembira kerana kami memenangi beberapa piala.
"Sudah pasti ini adalah antara musim terbaik saya," katanya.
Dia mempunyai tempoh beberapa hari untuk berehat selepas mengerah tenaga berdepan kelab Itali itu kelmarin.
Jadual terkini Ronaldo ialah menyertai pasukan kebangsaan mengharungi pusingan kelayakan untuk Portugal, selain satu lagi kejohanan di Russia.
"Saya teruja, ini semua detik yang manis," katanya.

