Buku lali Hazard cedera ketika berlatih
Juara EPL, Chelsea, mungkin kempunan menggunakan khidmat pemain tengahnya, Eden Hazard, pada permulaan musim akan datang.
Semuanya gara-gara kecederaan serius dialami Hazard ketika dia menyertai latihan bersama skuad kebangsaan Belgium menjelang perlawanan antarabangsa negara itu.
Belgium dijadual turut berdepan Republik Czech dalam perlawanan persahabatan hari ini, sebelum menentang Estonia bagi pusingan kelayakan Piala Dunia, 9 Jun ini.
Kecederaan pada buku lali kanan Hazard itu diumum Persatuan Bola Sepak Belgium (RBFA) hari ini.
Kata RBFA, buku lali Hazard pada awalnya terseliuh dan selepas diimbas, pakar perubatan mendapati ada retakan pada tulang berkenaan.
Hazard, 26, memainkan peranan penting untuk skuad The Blues menjadi juara EPL pada musim 2016/17.
Sepanjang musim lalu dia menjaringkan 16 gol daripada 36 perlawanan. Kontraknya di Stamford Bridge masih berbaki tiga tahun lagi namun namanya disebut-sebut untuk berhijrah ke Real Madrid.
Tidak dapat dipastikan berapa lama Hazard terpaksa berehat namun dipercayai kecederaan itu mengambil masa beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya.

