Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan

Hanya tinggal kurang dari 100 hari lagi sebelum bermulanya Sukan SEA Ogos nanti, pasukan bola keranjang kebangsaan menekan gear kelima dalam persediaan meraih podium.

Melalui penganjuran kejohanan jemputan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) skuad lelaki dan wanita Malaysia bakal berentap dengan tujuh pasukan jemputan dari Australia, China, Scotland dan Taiwan pada 13 hingga 17 Jun ini.

Kejohanan yang akan berlangsung di Stadium MABA itu akan menyaksikan lima pasukan wanita dan empat pasukan lelaki bersaing dalam perlawanan round robin.

Bercakap kepada para wartawan dalam sidang media, ketua jurulatih skuad lelaki kebangsaan Goh Cheng Huat menyifatkan kejohanan ini adalah antara persiapan utama sebelum Sukan SEA nanti.

"Kejohanan kali ini sebagai salah satu kaedah menyesuaikan pasukan untuk bermain di tempat sendiri. Setelah menamatkan Piala SEABA di Manila baru-baru ini, saya dapat melihat lebih jelas pemain-pemain utama yang bakal kami tentukan kelak," katanya.

Ketika ditanya mengenai tarikh pengumuman barisan pemain untuk Sukan SEA, beliau berkata akan mengumumkan senarai itu pada bulan Julai bersama dengan skuad wanita.

"Ini bukanlah barisan pemain yang disahkan lagi dan saya ingin menyeru kepada semua pemain yang masih berlatih untuk berusaha lebih gigih dan bersama-sama agar dapat menempa tempat dalam skuad nanti," tambah beliau.

Pasukan lelaki kebangsaan juga akan bertolak ke New Zealand untuk siri latihan intensif terakhir dari 18 hingga 30 Julai. Mereka akan beraksi dengan pasukan-pasukan dari negara itu dalam tujuh atau lapan perlawanan latihan.

Bagi skuad wanita negara yang baru kembali ke tanah air selepas latihan intensif selama dua minggu di Jepun, ketua jurulatihnya, Yoong Sze Yuin juga mahu mengambil peluang kejohanan MABA ini bersedia dan menyesuaikan diri di tempat sendiri.

"Kali ini, kita mencapai 80 peratus latihan untuk SEA Games. Skuad wanita telah menyiapkan latihan intensif di Jepun dan Australia. Skop pendedahan dalam latihan di dua negara tersebut adalah berbeza.

"Di Australia, mereka berdepan dengan pemain yang mempunyai kelebihan ketinggian manakala di Jepun pula, pemain mereka jauh lebih agresif dan penjaring yang tepat.

"Inilah latihan yang cukup baik dan saya ingin melihat sejauh manakah prestasi mereka setelah latihan itu," katanya.

Tambah Yoong, skuad wanita perlu memperbaiki kelemahan dalam aspek pertahanan, serangan pertukaran (transition offense), masalah turnover dan juga finishing (melengkapkan penguasaan bola).

"Mereka tahu kelemahan yang perlu diperbaiki setelah latihan di Jepun dan Australia. Dalam kejohanan Fo Guang dari 25 hingga 30 Julai di Taiwan, ini adalah latihan terakhir. Kita harap dapat berlatih secukupnya dalam kejohanan di MABA dan Taiwan nanti.

"Dalam Sukan SEA nanti, saat bertemu dengan pasukan Thailand, Filipina dan Indonesia peluangnya 50-50. Kita perlu beraksi lebih baik untuk menyesuaikan strategi dan corak permainan, bukan hanya mendapat jaringan yang tinggi tetapi tidak mendapat apa-apa poin pengukuhan," jelasnya.
 

Lihat Komen
ADS