Weigang meninggal dunia di Jerman

   

Bekas pengendali Perak, Karl-Heinz Weigang dilaporkan meninggal dunia pada Selalu lalu akibat serangan jantung.

Memetik laporan mStar, bekas jurulatih yang sangat sinonim dengan bola sepak tempatan itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun di Jerman.

Antara jasa dan sumbangan terbesar Weigang adalah membawa skuad negara dalam kelayakan sukan Olimpik di Moscow pada tahun 1980.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan negara kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada sukan bola sepak tanah air.

"Takziah saya ucapkan atas ‎pemergiaan bekas jurulatih kebangsaan, beliau seorang jurulatih terkenal di rantau ini khususnya Malaysia.

"Satu pemergian yang dirasai dalam dunia bola sepak," katanya ketika ditemui di majlis dialog TN50 bersama warga sukan di Majlis Sukan Negara petang ini‎.

Weigang diberi tanggungjawab mengendalikan skuad Perak pada 1997, dan pernah membawa pasukan itu menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1998 dan 2000.

Sepanjang mengendalikan pasukan Perak, beliau ternyata sangat disayangi penyokong-penyokong The Bos Gaurus.

Weigang kemudian bertukar angin ke selatan bagi menguruskan pasukan Johor FA sehingga tahun 2006.

Tahun lalu, beliau kembali melatih skuad Seladang namun hanya bertahan sehingga Februari 2017.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.