Paling Popular
Terkini

Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir pertandingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) selepas menumpaskan China 5-1 dalam perlawanan terakhir kumpulan A di Pusat Hoki dan Tenis Lee Valley, London, awal pagi ini.

Skuad Malaysia Tigers menamatkan cabaran peringkat kumpulan dengan mengumpul enam mata untuk berada di tempat ketiga, sekali gus berdepan dengan naib juara kumpulan B, India,pada pertemuan kalah mati, esok.

Kemaraan skuad bimbingan Stephen Van Huizen ke peringkat suku akhir WHL, telah membuka peluang cerah untuk memburu tiket ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India namun bagi mengesahkan slot secara automatik, skuad negara perlu mengalahkan India pada saingan suku akhir di London.

Hanya lima pasukan teratas di London akan layak ke Piala Dunia 2018. Bagaimanapun, quota tersebut mungkin ditambah, bergantung kepada pusingan kelayakan Piala Dunia peringkat benua.

Dalam saingan peringkat kumpulan WHL, Argentina muncul juara kumpulan A diikuti England, Malaysia, China dan Korea manakala Belanda muncul juara kumpulan B diikuti India, Kanada, Pakistan dan Scotland.

Dalam pertemuan dengan China, Malaysia Tigers, yang turun dengan aksi menyakinkan, membuka jaringan seawal minit kedua menerusi gerakan solo Faizal Saari selepas menerima lorongan cantik dari Muhammad Razie Rahim.

Najmi Farizal Jazlan menyempurnakan pukulan sudut penalti 10 minit kemudian untuk gol kedua negara sebelum Muhammad Razie menyumbat dua lagi gol pada minit ke-20 dan 23 masing-masing menerusi pukulan penalti dan pukulan sudut penalti.

Skuad negara sekali lagi dihadiahkan pukulan penalti yang disempurnakan oleh Fitri Saari pada minit ke-51.

Gol tunggal China diperolehi menerusi pukulan penalti Du Talake pada minit ke-43 selepas Najmi dipersalahkan kerana mengkasari pemain China.

Mengikut format perlawanan, empat pasukan teratas akan mara ke pusingan akhir WHL di Bhubaneswar, Disember ini dan hanya tiga pasukan akan layak sekiranya India, selaku tuan rumah, gagal menghuni empat tempat teratas.

Jadual Perlawanan Suku Akhir Esok:

(*Waktu Malaysia).

Argentina mln Pakistan (8.15 malam)

India mln MALAYSIA (10.30 malam )

Belanda mln China (12.45 tengah malam)

England mln Kanada (3 pagi-Jumaat).

-Bernama

Lihat Komen
ADS