Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
TRW tak boleh tewas pada MU
Diterbitkan:  Aug 1, 2017 6:51 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Perlawanan menentang Melaka United (MU) pada aksi Piala Malaysia peringkat Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV esok berupa penentu penting sama ada Kelantan layak ke pusingan suku akhir.

Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata Kelantan mesti memungut tiga mata pada perlawanan tersebut.

“Kami tidak boleh kalah jika mahu terus melangkah ke peringkat kalah mati dengan laluan mudah, kerana jika kami kalah ataupun seri, kami akan berdepan Kedah yang kini berada di tangga atas kumpulan," katanya kepada Bernama.

Dalam Kumpulan C, Kelantan dan Melaka United berada pada kedudukan kedua dengan berkongsi enam mata selepas masing-masing mencatat dua kemenangan, dua kekalahan selepas mengharungi empat perlawanan.

Beliau berkata perlawanan menentang Melaka United pasti memberi tekanan kepada pasukannya walaupun bermain di tempat sendiri memandangkan kedua-dua pasukan memerlukan tiga mata untuk membuka peluang bersaing ke peringkat seterusnya.

"Saya yakin mereka (Melaka United) akan mempertaruhkan barisan terkuat untuk beraksi 90 minit bagi memperolehi kemenangan.

"Sudah tentu kami juga perlu mempertaruhkan pasukan yang kuat walaupun kehilangan beberapa tonggak utama selain faktor keletihan pemain," katanya.

Zahasmi berkata faktor kecederaan dan kepenatan pemain turut memberikan tekanan kepada pasukanya bagi mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan penting malam esok.

"Saya lihat ramai pemain saya berada dalam kaedaan kepenatan selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat," katanya.

Kelantan tewas 0-2 kepada pasukan yang berada pada kedudukan tercorot kumpulan iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM FC) di Stadium Mini UiTM, Shah Alam pada sabtu lalu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS