Isyarat kuat Neymar tinggalkan Barcelona
Kelab gergasi Sepanyol, Barcelona memberi isyarat mereka akan kehilangan Neymar selepas pemain itu dibenarkan tidak menghadiri latihan rasmi selepas berhasrat untuk berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG).
Pemain kebangsaan Brazil itu dilaporkan pergi ke pusat latihan Barcelona selama 40 minit, kemudiannya Twitter rasmi kelab mengesahkan dia tidak berlatih hari ini dengan kebenaran pengurus.
"Pertama, pemain datang untuk latihan hari ini seperti biasa. Kedua dia berborak dengan rakan-rakan sepasukan untuk mengucapkan selamat tinggal kerana hasratnya meninggalkan kelab.
"Dan ketiga dia mendapat kebenaran pengurus untuk tidak menjalani latihan," kata jurucakap Barcelona seperti dilaporkan ESPN FC.
Neymar sebelum ini dispekulasi akan memilih PSG sebagai destinasi kariernya dalam jendela perpidahan musim panas ini. Dia dikatakan mahu meninggalkan Barcelona kerana tidak mahu lagi dibayangi rakan sepasukan, Lionel Messi.
Sementara itu, PSG dilaporkan bersedia untuk menebus kontrak bintang Brazil itu daripada Barcelonan dengan yuran perpindahan melibatkan 222 juta euro (RM1.1 bilion).

Dengan yuran perpindahan itu terjadi, dia akan muncul sebagai pemain termahal dunia.
Sementara itu, ejen tidak rasmi Neymar, Wagner Ribeiro mengesahkan dia kini berada di Paris untuk menyelesaikan persetujuan dengan PSG.
Ribeiro melalui akaun Twitternya menulis: "Paris menakjubkan, Menara Eiffel, wain, gastronomi dan bola sepak".
Laporan media Perancis, L'Equipe semalam menyatakan ujian kesihatan dan kecergasan pemain itu di PSG mungkin akan dilakukan akhir minggu ini atau Isnin depan.
Dalam perkembangan terkini, Barcelona mengesahkan perkara itu benar dan Neymar kekal menjadi milik mereka sehingga keputusan lanjut diselesaikan.


