Ketua jurulatih skuad Bawah-22 (B-22) negara Datuk Ong Kim Swee semalam memanggil 27 pemain untuk menyertai latihan pusat terakhir sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA Ke-29 yang akan berlangsung dari 14-29 Ogos ini.

Kim Swee dalam kenyataan media hari ini berkata senarai tiga pemain yang buat pertama kali bakal menyertai kem latihan ialah Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih dari Pahang serta Dominic Tan dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pengendali berusia 46 tahun itu turut memanggil semula lima pemain yang pernah menyertai perlawanan persahabatan di China bermula 8-16 Jun lalu yang tidak menyertai skuad untuk aksi kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok bulan lalu.

Mereka ialah Syamer Kutty Abba dan S. Kumaahran dari pasukan Pulau Pinang, penjaga gol Haziq Nadzli dan Muhd Safawi Rasid dari JDT serta Tommy Mawat Bada dari Sarawak.

Kesemua mereka perlu melaporkan diri di Wisma FAM Ahad ini sebelum Kim Swee menyenaraikan senarai 20 pemain akhir yang akan mewakili negara pada Sukan SEA.

Penjaga gol Ahmad Solehin Mamat (Kuala Lumpur), L Kalaiharasan dan Fauzan Fauzi (Negeri Sembilan) serta Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak) yang bersama pasukan itu menyertai kelayakan Kejuaraan AFC B-23 telah digugurkan.

"Ini merupakan barisan terbaik yang dapat saya kumpulkan kecuali terpaksa menggugurkan Beto (Ahmad Khairil Anuar Zamri dari Perak) yang masih cedera. Saya akan menilai 27 pemain ini sebelum pilih skuad terakhir bagi memastikan setiap posisi mempunyai pemain utama dan pemain pengganti kerana jadual Sukan SEA begitu padat.

"Jadi saya perlu memikirkan dari segi kecergasan pemain kerana mereka yang dipilih perlu bersedia untuk diturunkan pada setiap perlawanan jika kita layak sehingga ke final. Matthew dan Nor Azam pernah bersama saya ketika saya mengendalikan skuad Sukan SEA 2015 di Singapura, cuma Nor Azam digugurkan pada saat akhir,” katanya.

Beliau juga yakin tiada masalah untuk pemain membentuk keserasian dengan pemain sedia ada termasuk Dominic yang pernah bersama skuad B-22 sebelum ini ketika di bawah kendalian Frank Bernhardt.

"Yang penting pemain-pemain baharu ini perlu berusaha merebut tempat dan pada masa yang sama sedia untuk bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Skuad negara yang diundi dalam Kumpulan A akan membuka kempen menentang Brunei pada 14 Ogos, diikuti aksi bertemu Singapura (16 Ogos), Myanmar (21 Ogos) dan Laos (23 Ogos), di mana kesemua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Shah Alam pada jam 8.45 malam.

Aksi separuh akhir pula dijadual pada 26 Ogos manakala aksi final pada 29 Ogos.

-Bernama