Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Pasukan hoki lelaki negara menggalas misi penting untuk mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Jurulatih pasukan kebangsaan Stephan van Huizen berkata meskipun Malaysia berada di kedudukan 14 dunia, namun pemain tidak boleh mengambil ringan daya saing pihak lawan yang ingin mengalahkan mereka.

“Pencabar terdekat kita ialah Singapura kerana mereka akan melakukan yang terbaik untuk mengalahkan kita,”katanya semasa sidang media Kita Juara di Kuala Lumpur hari ini.

Semasa temasya Sukan SEA ke-28 di Singapura, Malaysia menewaskan tuan rumah 4-3 dalam penentuan pukulan penalty sekali gus merangkul pingat emas.

Stephan juga berkata temasya sukan Asia Tenggara ini juga akan menjadi tempat latihan kepada pemain menghadapi kejohanan lebih besar seperti Sukan Asia dan kejohanan Hoki Lelaki Dunia tahun hadapan.

“Tahun hadapan adalah tahun yang lebih mencabar kerana banyak kejohanan peringkat antarabangsa dan para pemain perlu bersedia dari sekarang,” katanya.

Sementara itu ketua pasukan Shukri Mutalib berkata pemain perlu fokus dan serius walaupun pasukan lain berada di kedudukan yang lebih rendah.

“Kita akan berlatih dengan bersungguh-sungguh dan saya harap ahli pasukan akan memberikan komitmen tertinggi mereka bagi meraih pingat emas dalam KL2017,”katanya.

Acara hoki padang akan berlangsung pada 21 hingga 29 Ogos di Stadium Hoki Nasional, KL Sports City, Bukit Jalil.

- Bernama

Lihat Komen
ADS