Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
FAM nafi atlet futsal ingkar perintah berkurung
Diterbitkan:  Aug 9, 2017 5:45 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini menafikan dakwaan penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan, Nur Izwani Azman, 30, melanggar perintah berkurung perhimpunan atlet Malaysia untuk Sukan SEA 2017, Jumaat lalu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, siasatan pihaknya mendapati Nur Izwani telah pun meninggalkan lobi hotel selepas berjumpa saudaranya dan menuju ke lif pada jam 10.55 malam untuk naik ke biliknya, di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.

"Penjelasan daripada pemain itu sendiri serta ketua jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan, Muizzudin Haris dan pengurus pasukan, Shafizah Umamah Abdul Mutalib beserta bukti rakaman kamera litar tertutup CCTV.

"Ia mendapati bahawa Nur Izwani telah pun meninggalkan lobi hotel selepas berjumpa saudaranya dan menuju ke lif pada jam 10.55 malam untuk naik ke biliknya.

"Ia sama sekali bercanggah dengan aduan dan dakwaan yang dibuat pihak tertentu sebelum ini yang menyatakan bahawa Nur Izwani dilihat masih berada di lobi hotel berkenaan pada sekitar jam 12.30 tengah malam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo mengesahkan terdapat dua atlet negara, iaitu daripada skuad futsal dan badminton melanggar perintah berkurung di hotel yang menjadi penginapan rasmi kontinjen negara.

Sementara itu, Hamidin berkata, FAM kesal dengan tuduhan dan dakwaan Beng Choo yang membuat kenyataan media pada 7 Ogos lalu bahawa terdapat dua atlet negara telah melanggar perintah berkurung.

"Setelah diteliti rakaman CCTV juga mendapati bahawa pergerakan terakhir Nur Izwani masuk ke dalam biliknya adalah pada jam 11.11 malam, yang jelas sama sekali tidak melanggar peraturan perintah berkurung keluar dari bilik melebihi jam 11.30 malam.

"Saya telah menghubungi sendiri Beng Choo bagi menjelaskan apa yang berlaku ini dan akan menghantar surat penjelasan kepada beliau bagi memastikan perkara atau isu ini tidak terus dipanjangkan di media," jelasnya.

Tambah beliau, persatuan juga mengesahkan bahawa nama Nur Izwani masih berada dalam senarai 16 pemain akhir skuad futsal wanita kebangsaan untuk beraksi pada Sukan SEA 2017 yang mana acara futsal akan berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam dari 18 hingga 27 Ogos 2017.

"Malah ketua jurulatih (Muizzudin) turut berpuas hati dengan tahap disiplin Nur Izwani di dalam dan luar gelanggang sepanjang bersama skuad futsal wanita kebangsaan," kata Hamidin.

Lihat Komen
ADS