Polis tahan pemandu bas atlet disyaki mencuri
Seorang pemandu bas atlet Sukan SEA 2017 ditahan polis atas dakwaan tidak memiliki lesen memandu dan disyaki mencuri seutas jam tangan milik pegawai bola sepak wanita Malaysia, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan satu jam tangan milik pegawai tersebut kira-kira jam 10 malam.
"Siasatan lanjut mendapati pemandu bas seorang lelaki berusia 27 tahun yang membawa bas pemain pasukan Myanmar disyaki telah mengambil jam tangan tersebut.
"Pihak polis telah menjumpai semula jam tangan pengadu di dalam bas yang dipandu suspek," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Shafien berkata, siasatan juga mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu.
Katanya, tangkapan telah dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan jalan 1987.
"Suspek kini direman sehingga 20 Ogos," jelasnya.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) dalam kenyataan susulan berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatkan penuh terhadap kes tersebut.
"Kerjasama yang tinggi juga akan kami berikan kepada pihak PDRM dalam menjalankan siasatan dan dalam memastikan tindakan yang sewajarnya dapat diambil kepada sesiapa yang telah melakukan kesalahan jenayah atau melanggar sebarang undang-undang.
"Masoc juga ingin menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi dengan sebarang isu keselamatan berkenaan dengan Sukan SEA 2017, terutamanya berkenaan dengan keselamatan kontinjen," kata kenyataan itu.
Tambah Masoc, pihaknya telah mengeluarkan amaran khas kepada kontraktor atau operator pengangkutan untuk membuat saringan semula yang lebih ketat ke atas para pemandu dan petugas mereka agar benar-benar bersih dari sebarang kesalahan.
"Jika gagal, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas, seperti penamatan kontrak serta-merta," jelasnya.

