Paling Popular
Terkini

SUKAN SEA | Juara tetap juara, itulah keyakinan skuad wanita Malaysia yang bakal mempertahankan kejuaraan mereka dalam Sukan SEA edisi kali ini.

Malaysia memulakan langkah pertama dengan kaki kanan apabila mencatat kemenangan mudah mengatasi Vietnam perbezaan 34 mata iatu 88-54.

Ketika ditemui wartawan selepas perlawanan, ketua jurulatih Yoong Sze Yuin bagaimanapun berkata anak buahnya agak santai dalam corak permainan perlawanan pertama.

"Saya tidak berpuas hati dengan pertahanan mereka... tidak cukup teguh. Pasukan dari Indonesia, Filipina dan Thailand, mereka agak agresif dan saya harap mereka perlu memperbaiki pertahanan untuk mengelakkan pihak lawan membolosi jaringan," kata Yoong.

"Saya dapati pada awal perlawanan, sukar untuk kita menembusi dan mendapatkan jaringan dari dalam. Sebab itulah saya galakkan mereka untuk mencuba jaringan dari luar perimeter dan mereka berani mendapatkan lebih banyak mata daripada itu," tambahnya lagi.

Chong Yin Yin mendahului jaringan dengan 17 mata, 5 rebound dan 2 steal manadkala Wong Mei Chyn, Tai Chia Qian dan Magdelene Low masing-masing mendapat 10 mata dan 9 mata.

Malaysia mula dengan serangan agresif dalam perlawanan pertama dan selaku juara dalam edisi lalu, ramai lawan yang ingin mencuba mengalahkan skuad wanita kebangsaan.

Namun dengan jaringan tiga mata bertubi-tubi daripada Wong Mei Chyn dan mendapat lapan mata, Malaysia menguasai suku pertama dengan mudah, 23-15.

Suku kedua pula melihat pasukan Vietnam mula menyesuaikan taktik serangan dan cuba mendapatkan jaringan dari dalam.

Magdalene Low dalam suku ini terus mempamerkan aksi yang menarik seiring dengan rakan sepasukan beliau, Chong Yin Yin dan Pang Hui Pin yang mengukuhkan garisan luar jaring.

Magdalene mendapat enam mata awal hasil jaringan tiga mata pada awal suku kedua dan lantas menjarakkan lagi jurang mata sebanyak 16 mata, 35-19.

Namun, separuh masa pertama untuk Malaysia menunjukkan percubaan jaringan dua mata yang lembab, hanya mendapat satu daripada 16 percubaan, dan pada yang sama, skuad negara kekal di hadapan berbekalkan jaringan tiga mata yang mendapat 11 daripada 30 percubaan.

Malaysia mengakhiri suku kedua dengan 44-28.

Ketiadaan ketua pasukan Nur Izzati Yaakob yang juga memainkan peranan yang penting sebagai point guard sukar buat pasukan negara cuba menangkis serangan Vietnam. Beliau terpaksa berehat bermula suku kedua.

Malaysia terus menguasai suku ketiga dengan mudah dan akhiri suku itu dengan 31 mata, 69-38 dengan jaringan demi jaringan tiga mata. Skuad kebangsaan wanita kita juga memperbaiki peratusan jaringan untuk dua mata untuk suku terakhir perlawanan.

Vietnam pula nampak 'rebah' dari permulaan suku keempat dan ruang untuk mendapat lebih banyak jaringan semakin longgar dan mudah untuk Malaysia.

Pasukan wanita Malaysia akan bertemu Singapura esok pada 1.30 petang.

Lihat Komen
ADS