Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Skuad lelaki Malaysia menang besar lawan Myanmar

SUKAN SEA| Dua dalam satu, hari pertama bermulanya perlawanan bola keranjang dalam temasya Sukan SEA mempersembahkan prestasi yang sangat baik untuk kedua-dua pasukan lelaki dan wanita.

Skuad lelaki pula membelasah pasukan Myanmar sebanyak 53 mata, 95-42, hampir-hampir menyamai pungutan jaringan oleh Singapura sebelum ini dengan Cambodia.

Menurut ketua jurulatih Goh Cheng Huat yang kelihatan sangat gembira dengan prestasi anak buahnya, beliau menyifatkan kemenangan ini suatu dorongan moral untuk menghadapi cabaran yang lebih sukar selepas ini dengan Thailand.

"Kita perlukan prestasi yang konsisten dan lebih baik lagi dalam perlawanan seterusnya. Malaysia perlu bersedia dan saya selalu ingatkan mereka kalau ingin berjaya, mereka perlu mempunyai persediaan minda.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dan masih ada ruang untuk diperbaiki. Kadang-kala masih ada kelemahan dari segi pertahanan dan saya harap kita boleh memberi fokus yang baik," ujar Goh lagi. 

Wong Yi Hou mendahului pungutan mata denga 21 mata, 5 rebound dan 4 steal manakala pemain termuda pasukan, Perry Lim menggamit suasana stadium dengan beberapa 'dunk' beliau ketika perlawanan. Perry mendapat 12 mata dan 15 rebound.

Inilah kali pertama Perry Lim yang dilahirkan dan dibesarkan di Illinois, Amerika Syarikat yang kembali ke tanah air untuk mewakili Malaysia.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini yang sering pulang ke Malaysia untuk cuti musim panas cukup teruja dengan sokongan peminat tempatan yang memenuhi Stadium MABA dengan anggaran lebih 1,600 orang yang menonton.

"Inilah Sukan SEA pertama dan saya sangat gembira! Walaupun ada kalanya saya tersasar lontaran saya, keputusan 95-42 adalah permulaan yang sangat memberangsangkan.

"Pertemuan esok dengan Thailand dan juga Filipina pada hari Rabu adalah antara perlawanan tahap yang lebih tinggi, lebih sukar. Saya rasa persembahan skuad kita cukup baik dan bersedia untuk menghadapi mana-mana pasukan, harapan pingat itu tetap dalam sasaran," kata Perry.

Skuad lelaki Malaysia yang tampak lebih bersedia dalam acara bola keranjang kali ini tidak memberikan sebarang peluang kepada pasukan lawan dari Myanmar. 

Malaysia mengawal ritma perlawanan dari awal lagi dan menjaringkan 13-0 dalam lima minit pertama. Loh Shee Fai mendahului dengan jaringan lima mata manakala Ting Chun Hong and Ivan Yeo juga menyumbangkan tiga mata masing-masing.

Myanmar mula menunjukkan belang mereka pada pertengahan suku pertama dan menjaringkan lapan mata dalam masa dua minit, 8-15. 

Malaysia pantas menyesuaikan pertahanan dan serangan semula dengan jaringan bertubi-tubi dari Wong Yi Hou dan Kuek Tian Yuan, termasuklah jaringan 'dunk' pertama dalam temasya Sukan Sea ini daripada Perry Lim. Malaysia akhiri suku pertama dengan kelebihan 12 mata, 25-13.

Suku kedua pula melihat Wana Aung menampilkan bakatnya sekali lagi di Sukan Sea, seperti di kejohanan SEABA di Manila pada bulan Mei lalu, menjaringkan beberapa mata penting untuk Myanmar.

Pergerakan dan hantaran bola pantas daripada Myanmar mencabar penguasaan tuan rumah di Stadium MABA tetapi ia tidak mencukupi dengan sorakan yang memenuhi stadium petang ini.

Sebelum wisel penamat separuh masa pertama, Perry Lim sekali lagi 'mengghairahkan' penonton dengan dunk keduanya dan tidak lama kemudian diikuti dengan satu lagi dunk dan jaringan tiga mata oleh Kuek Tian Yuan. Malaysia akhiri suku kedua dengan kelebihan 24 mata, 48-24.

Suku ketiga dan keempat pula melihat pelbagai aksi terutamanya daripada pemain Malaysia yang memberi jaringan dunk dan tiga mata untuk mendahului pasukan lawan lebih jauh lagi dari lebih 20 mata hinggalah hampir 60 mata pada suku keempat.

Skuad Myanmar pula tidak mengalah walau sampai ke saat-saat akhir untuk cuba menandingi pasukan Malaysia yang lebih berpengalaman. 

Malaysia akan berlawan skuad lelaki Thailand esok pada pukul 6 petang.

Lihat Komen
ADS