Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Selepas 16 tahun, bola jaring M'sia raih emas

Skuad bola jaring negara hari ini menambah satu lagi kutipan pingat emas negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila menewaskan juara bertahan Singapura dalam perlawanan penuh debar di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara.

Percaturan jurulatih daripada Australia, Tracey Robinson mendorong skuad negara menguasai gelanggang seawal permainan dengan mempamerkan hantaran-hantaran kemas untuk mengungguli permainan dengan 65-41, sekali gus merealisasikan hasrat merampas kembali pingat emas setelah tewas kepada republik itu pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Turut sama berkongsi kegembiraan dengan skuad bola jaring negara ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang hadir menyaksikan perlawanan itu dan perdana menteri kemudian mengalungkan pingat kemenangan kepada skuad negara.

Turut hadir memberi sokongan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar.

Semalam, skuad negara menewaskan Brunei 70-28 manakala Singapura pula mengalahkan Thailand 55-43 pada perlawanan separuh akhir.

Perdana menteri yang ditemui pemberita sejurus mengalungkan pingat kemenangan kepada pasukan Malaysia, memuji semangat berpasukan serta kesungguhan skuad itu untuk menewaskan juara bertahan.

"Hebat! Hebat! Persembahan penuh bersemangat daripada mereka (pasukan Malaysia).

"Mereka bergerak sebagai satu pasukan sehingga berjaya menjadi juara," katanya.

Perdana menteri turut mengucapkan tahniah kepada pasukan itu menerusi akaun twitternya.

Kali terakhir Malaysia menang pingat emas ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001.

Gandingan An Najwa Azizan, Izyan Syazana Mohd Wazir, Noramirah Dayana Noor Azhar, Siti Nor Farhana Mustafa, Nur Fariha Abdul Razak dan Pow Mei Fong selaku tujuh pemain utama pasukan negara nyata serasi dan mantap dalam mendepani cabaran Singapura.

Percaturan Robinson itu berjaya meletakkan Malaysia mendahului 20-7 pada suku pertama, kekal mendahului 36-12 (suku kedua) , terus mendahului 51-28 (suku ketiga) sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 65-41.

Keputusan jurulatih mempertaruhkan Norashikin Kamal Zaman dan L. Karishma bagi menggantikan An Najwa dan Izyan Syazana ternyata tepat.

Mengulas kejayaan itu, Robinson memuji komitmen dan kesungguhan ditunjukkan pemain sehingga membolehkan mereka muncul juara.

"Pemain berjiwa kental, bersemangat tinggi untuk berjuang bagi pingat emas walaupun bukan mudah berdepan Singapura. Saya amat bangga dengan prestasi cemerlang mereka.

"Bagi saya mereka teladan yang baik untuk menjadi ikon sukan yang terkenal," katanya.

Kapten pasukan Nur Syafazliyana Mohd Ali berkata kejayaan menyumbangkan pingat emas untuk negara amat bermakna kerana pasukan telah berlatih sejak 18 bulan lepas dalam persiapan rapi untuk KL2017.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS