Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Takraw: Indonesia akui kesilapan
Diterbitkan:  Aug 21, 2017 9:09 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Persatuan Sepak Takraw Indonesia (PSI) mengakui skuad sepak takraw wanita negara itu telah melakukan kesilapan besar berhubung tindakan meninggalkan gelanggang semasa perlawanan menentang Malaysia, semalam.

Timbalan Presiden PSI, H. Syafrizal Bakhtiar berkata tindakan jurulatih serta pemainnya itu kerana terlalu beremosi dan rasa kekecewaan terhadap wasit (pengadil) yang bertugas.

"Namun setelah meneliti dan melihat semula data dan video ulangan, ternyata tekong kami telah mengangkat kaki sewaktu melakukan servis dan ia adalah satu kesalahan.

Ketika itu jurulatih, pemain dan barisan pengurusan kami hanya melihat dari mata kasar dan kami telah melakukan kesilapan," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Syafrizal, beliau yang bertindak sebagai pengurus pasukan semalam cuba memujuk jurulatihnya untuk tidak meninggalkan gelanggang namun disebabkan perlawanan yang 'panas', hal yang kecil pun boleh menjadi besar.

"Saya sebagai pengurus pasukan sudah berusaha untuk mengikuti regulasi bahawa kami tidak boleh melakukan protes besar dan hanya boleh membuat bantahan mengikut undang-undang ISTAF (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) dan menggunakan prosedur yang betul.

"Tetapi kerana sudah tidak terbendung pada waktu itu, kami melakukan juga 'keluar gelanggang' dan kami kesal serta memohon maaf atas kesilapan yang kami lakukan itu," katanya.

Insiden protes sehingga meninggalkan gelanggang itu adalah tanda bantahan jurulatih Indonesia, Asry Syam terhadap keputusan pengadil Singapura, Mohd Radhi Che Mei membatalkan empat servis yang dilakukan oleh tekong dari negara itu, Lena, ketika mereka sedang mendahului set kedua dengan 16-10.

Tindakan Indonesia itu memberi kemenangan 2-0 secara pembatalan kepada Malaysia selepas pasukan tuan rumah menang set pembukaan dengan keputusan 22-20.

Nasib Indonesia bakal diketahui dalam masa terdekat ini setelah Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader memaklumkan akan bermesyuarat bersama jawatankuasa teknikal yang lain bagi menentukan jenis hukuman akan dikenakan ke atas republik itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS