Paling Popular
Terkini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan atas kejayaan memenangi pingat emas dalam acara 100 meter Sukan SEA 2017, di Kuala Lumpur malam ini.

“Detik yang tersangat bangga untuk Malaysia. Saudara Khairul menjadi juara pecut Asia Tenggara.

“Satu lagi emas utk Malaysia! Tahniah Khairul Hafiz Jantan Raja Pecut Asia Tenggara! #KL2017 #BangkitBersama #Kebanggaanku,” kata Najib menerusi catatan di laman Twitter rasmi beliau.

Khairul Hafiz, 19, muncul juara selepas melintas garisan penamat dalam masa 10.38 saat, mengatasi juara bertahan Eric Cray dari Filipina yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan 10.43 saat.

Peserta dari Thailand, Kritsada Namsuwun yang turut mencatatkan 10.43 saat terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa berdasarkan foto penamat (photo finish), manakala seorang lagi wakil negara, Jonathan Nyepa dari Sarawak menamatkan larian di tempat kelima dalam masa 10.66s.

Najib dalam pada itu turut menyampaikan kata-kata semangat kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang tewas pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland.

You'll always be our hero @LeeChongWei (anda akan sentiasa menjadi wira kami),” tulis Najib.

Impian Chong Wei untuk bergelar juara dunia buat pertama kali di penghujung kariernya berakhir dengan tragis apabila tersingkir seawal pusingan pembukaan, hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu tewas di tangan pemain bukan pilihan, Brice Leverdez, dari Perancis 19-21, 24-22 dan 17-21 dalam pertarungan selama 75 minit.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS