Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Ketua jurulatih pasukan Harimau Malaya Nelo Vingada optimis anak didiknya dapat memperbaiki mutu persembahan mereka berdepan pasukan Syria dalam perlawanan persahabatan malam ini walaupun pasukan itu gagal meraih kemenangan pertamanya dalam pertemuan dengan pasukan Lubnan, Jun lalu.

Vingada berkata kegagalan untuk mencatat kemenangan pertama selepas tewas 1-2 kepada Syria dan satu lagi kekalahan 1-2 dengan Lubnan tidak bermakna pasukan itu gagal untuk menunjukkan persembahan yang baik kerana percaya para pemain perlu lebih masa untuk memperbaiki persembahan mereka.

"Kami hanya berlatih selama lima hari di Melaka, dan daripada pemerhatian saya semasa sesi latihan di sini, saya dapati ada peningkatan dan para pemain mula menunjukkan perubahan berbanding dalam latihan dan pertemuan sebelum ini.

"Tidak kira apa yang berlaku, walaupun kita kalah malam ini, ia tidak bermakna prestasi pasukan telah menurun, daripada pemerhatian saya, boleh dikatakan terdapat banyak peningkatan berbanding pertemuan menentang Lubnan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan menentang Syria di Stadium Hang Jebat di Melaka malam tadi.

Menyentuh persembahan malam tadi, Vingada berkata pada separuh masa pertama dan pada awal separuh masa kedua, pasukannya dapat mengawal rentak permainan namun jaringan pada saat akhir telah mengecewakan hati pemain pasukannya yang telah berusaha bertungkus lumus.

Katanya beliau dan pasukannya akan mula mencari pemain baharu minggu ini sebagai persiapan menghadapi pasukan Hong Kong dalam pertemuan kelayakan Piala AFC Asia 2019 yang dijadual 5 Sept.

-Bernama

Lihat Komen
ADS