Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Beckham akan tiba di KL 22 Sept
Diterbitkan:  Aug 23, 2017 2:44 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Kehidupan selepas bersara untuk bekas pemain Manchester United (MU) David Beckham sesibuk seperti ketika dia masih menjadi pemain bola sepak.

Kali ini, Beckham dilapor akan berkunjung ke Kuala Lumpur sempena program AIA Vitality Wellness Festival yang dijadual berlangsung 22 September ini.

AIA Malaysia mengumumkan bakal menerbangkan selebriti bola sepak berpengaruh dunia itu menerusi status dimuat naik di akaun Facebook rasmi syarikat berkenaan.

"Mulai minggu ini, lengkapkan tugasan penjagaan kesihatan atau senaman #BeBetter untuk memenangi pelbagai hadiah dan peluang bertemu Duta Global AIA, David Beckham," kata penganjur.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut sebarang maklumat lanjut mengenai lokasi atau acara yang bakal dihadiri Beckham.

Mac lalu, suami kepada Victoria atau Posh Spice itu dilantik sebagai Duta Global AIA.

Kedatangan Beckham ke Kuala Lumpur bukanlah kali pertama. Sebelum ini dia pernah menghadiri sambutan ulang tahun jam jenama mewah di Pavilion pada November 2014.

Suami kepada pereka fesyen Victoria itu bersara sebagai kapten England pada 2013, dan sejak itu namanya menjadi lebih popular.

Wajah Beckham seringkali digunakan oleh pengiklan yang ingin memasarkan produk jenama mereka. Beckham terus menerus tampil pada acara berkaitan fesyen, televisyen, makanan dan minuman.

 

Lihat Komen
ADS