Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Malaysia juara kumpulan A
Diterbitkan:  Aug 23, 2017 10:42 PM
Dikemaskini: 4:29 PM

Malaysia menutup saingan Kumpulan A acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan penuh bergaya selepas mencatat kemenangan keempat menewaskan Laos 3-1 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad Bawah 22 (B-22) muncul juara kumpulan selepas mengekalkan rekod tanpa kalah untuk mengumpul 12 mata keseluruhan.

Menanti Malaysia di separuh akhir Sabtu ini adalah naib juara Kumpulan B antara juara bertahan, Thailand, Vietnam dan Indonesia yang kini sedang bergelut merebut dua slot ke pusingan kalah mati itu.

Beraksi tanpa beberapa tonggak utama yang direhatkan, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bermula agak perlahan pada 20 minit pertama sebelum berjaya menemui rentak untuk membuka jaringan enam minit kemudian menerusi Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew.

Namun, Laos berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi sepakan percuma Phantavong Thanin menewaskan penjaga gol negara, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim yang hanya sekadar terpaku melihat bola menerjah jaring.

Bagaimanapun, Malaysia kembali mendahului pada minit ke-39 selepas pertahanan Laos tertampan bola ke gawang sendiri apabila cuba menghalang rembatan dari jarak jauh kapten negara, Muhammad Adib Zainudin.

Seakan-akan perlawanan bakal berakhir dengan keputusan 2-1, Muhammad Jafri yang tidak dikawal dalam kotak penalti bijak menolak hantaran silang Muhammad Syafiq Ahmad untuk menjaringkan gol keduanya malam ini sekaligus mengesahkan kemenangan Malaysia pada minit ke-90.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Singapura berjaya menundukkan Brunei 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Selayang untuk mengubati kekecewaan selepas gagal melayakkan diri ke separuh akhir dalam dua edisi berturut-turut.

-Bernama

Lihat Komen
ADS