Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Bola keranjang lelaki Malaysia gagal ke podium

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, pasukan Malaysia terlepas peluang lagi untuk menaiki podium pada temasya Sukan SEA kali ini. Malaysia memenangi pingat gangsa pada tahun 2007 di Thailand.

Skuad negara terpaksa mengharungi kesakitan sepanjang perlawanan dan enam pemain dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut susulan keracunan makanan.

Antaranya Kuek Tian Yuan, Wong Yi Hou, Ivan Yeo, Wong Chin Yong dan Teo Kok Hou menerima rawatan kerana keracunan makanan sejurus selepas perlawanan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Kok Hou memaklumkan bahawa mereka telah beransur baik selepas menerima rawatan dan telah kembali di penginapan masing-masing.

Sementara itu, Chan Kek Thai pula direhatkan untuk perlawanan ini atas nasihat doktor kerana disyaki mempunyai kecederaan pada tulang rusuk.

"Mereka memberikan yang terbaik walaupun terpaksa bermain dalam keadaan yang kurang sesuai ketika mengalami keracunan makanan. Saya cukup berpuas hati dengan mereka sebenarnya.

"Apa yang saya inginkan, mereka telah berikan pada 10 minit pertama. Selepas itu, semuanya kembali ke persembahan permainan lama. Banyak kesilapan, saya sering ingatkan mereka bagaimana Filipina mengalahkan Thailand adalah melalui penetrasi pertahanan.

"Kita sepatutnya berpeluang kalahkan mereka (Filipina). Dalam aspek serangan pula, saya rasa kita perlu mendapat jaringan apabila ada peluang open shot. Saya memang harapkan yang terbaik tetapi mereka juga rasa tertekan," kata ketua jurulatih Goh Cheng Huat.

Menurut Goh lagi, beliau memang mengharapkan untuk mengalahkan Filipina kali ini walaupun dengan satu mata.

Namun, misi untuk mengalahkan Filipina ini sebagai suatu tanda untuk memberitahu mereka bahawa ada pasukan negara lain yang setara mereka.

"Kita ingin memberikan yang terbaik dan perjalanan untuk mendapatkan pingat emas bola keranjang bukan sekadar menghantar barisan pemain dari kolej atau liga pembangunan PBA. Mereka perlu ketahui kekuatan pasukan lain di Asia Tenggara juga," tambah beliau.

Drama bertukar medan perang

Pertembungan Malaysia-Filipina kali ini bertukar wajah berbanding pada awal perlawanan, dua pemain Filipina 'dihadiahkan' penyingkiran dari gelanggang.

Carl Bryan Cruz dan Baser Amer disingkirkan dari gelanggang dalam pergelutan antara Kuek Tian Yuan (Malaysia) dan Kevin Ferrer (Filipina) dalam suku ketiga.

Namun, keputusan pengadil mengeluarkan Amer dan Cruz atas sebab mereka memasuki gelanggang semasa kejadian itu, tetapi mereka sebenarnya masih bermain dalam gelanggang pada masa itu.

Amer meluru ke arah Kuek untuk meleraikan mereka tetapi diasingkan oleh Ivan Yeo. Amer menolak Ivan dan pada masa yang sama, Cruz cuba memisahkan Ivan, Kuek daripada Ferrer.

Kuek dan Ferrer diberikan unsportsmanlike foul tetapi nasib tidak memihak kepada Amer dan Cruz yang bertindak sebagai 'jaksa pendamai' disingkirkan pengadil pula.

Kawalan yang mantap seketika

Dengan adanya Standhardinger di garisan dalam, Malaysia sukar untuk mendapatkan jaringan perimeter dalam. Filipina mengorak langkah awal dan mendahului Malaysia dengan 7 mata.

Mata pertama awal dari Ting Chun Hong memberikan nafas lega dan seterusnya Kuek Tian Yuan terus merembat jaringan tiga mata dan Malaysia mendahului Filipina pada 3 minit akhir suku pertama, 16-15.

Malaysia terus mendominasi minit akhir suku pertama selepas jaringan jump shot daripada Ivan Yeo dan Teo Kok Hou tetapi jaringan Chris Tolomia akhiri suku pertama dengan 20-18.

Perubahan arus bermula dalam suku kedua dan mengelirukan strategi awal Malaysia. Skuad negara sukar mendapat jaringan dalam dan pemain Filipina terutamanya Kiefer Ravena, Kobe Paras dan Kevin Ferrer menjaringkan beberapa jaringan tiga mata dan memberikan kelebihan yang besar.

Malaysia cuba mengatasi jurang mata dengan percubaan jump shot dan jaringan perimeter luar daripada Teo Kok Hou dan Wong Yi Hou. Sebelum wisel separuh masa berakhir, Cris Tolomia melakukan layup pada saat akhir dan Filipina kembali mendahului Malaysia sebanyak 12 mata, 35-47.

Selepas insiden Kuek-Ferrer, perasaan 'marah' pasukan Filipina ingin membalas dendam terhadap skuad kebangsaan Malaysia dan menjaringkan 26 mata berbanding 11 mata sahaja daripada skuad negara.

Malaysia cuba memperbaiki keputusan dalam suku terakhir dan mendapat jaringan mata yang lebih baik dengan 20 mata.

Kuek Tian Yuan mendahului pungutan mata dengan 14 mata dan Ting Chun Hong menjaringkan 10 mata.

Untuk pasukan Filipina pula, Christen Standhardinger mendapat 18 mata dan 18 rebound manakala Kobe Paras mendapat 16 mata dan 8 rebound.

"Banyak lagi ruang untuk memperbaiki kelemahan dan menandingi setiap pemain dalam Sukan SEA ini. Pemain tempatan perlu pelajari melalui kekalahan ini dan mempunyai visi sebagai pemain antarabangsa bukan jaguh kampung di negara sendiri," ujar Goh lagi.

Malaysia akan berentap dengan pasukan tempat ketiga dalam kumpulan B sama ada Vietnam atau Singapura pada 25 Ogos.

Lihat Komen
ADS