Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

SUKAN SEA | Skuad bola keranjang wanita negara bukan sekadar semakin hampir menggapai pingat emas, malah melakar sejarah tersendiri dengan mencatatkan jurang jaringan terbesar.

Berdepan dengan Myanmar anak buah Yoong Sze Yuin membenam lawan dengan perbezaan 92 mata. Malaysia mencatatkan jaringan 145 mata berbanding Myanmar 53.

Ooi Poh Yee menjadi penjaring terbanyak dalam perlawanan hari ini dengan 34 mata termasuklah lapan kali membuat jaringan tiga mata. Tai Chia Qian dan Wong Mei Chyn masing-masing menyumbang 26 dan 23 mata.

Ini merupakan Sukan SEA pertama untuk Ooi sebagai wakil Malaysia dan bersemangat untuk turun dalam perlawanan kelima - menentang Thailand esok.

Setakat ini skuad Malaysia sudah mencatat empat kemenangan berturut-turut.

"Kita masih perlu mengalahkan Thailand dan kami memang bersemangat untuk mendapatkan pingat emas kali ini," katanya.

Mengenai perlawanan tadi Ooi berkata dia cuba membuat jaringan setiap kali peluang terhidang.

Pada suku pertama, Malaysia memulakan serangan awal dan terus menjaringkan sembilan mata awal berbanding Myanmar yang hanya mendapat dua mata pada tiga minit pertama.

Namun, selang beberapa minit di pertengahan suku pertama, Myanmar sempat mengikat Malaysia dengan 9-9 hasil jaringan Lin Htet Myat.

Malaysia kembali menguasai gelanggan dan mengakhiri suku pertama dengan 21-28.

Saingan awal Myanmar dalam suku pertama tidak berkekalan dan Malaysia terus mendahului lebih jauh pada suku kedua dengan jaringan dalam. Myanmar semakin jauh ditinggalkan Malaysia sebanyak 24 mata, 33-57.

Skuad negara terus membelasah Myanmar dalam suku ketiga dan jaringan tiga mata sebanyak sembilan kali lantas membawa Malaysia lebih jauh di depan.

Malaysia sudah mendahului Myanmar dengan 58 mata dan berjaya melepasi 100 mata hasil jaringan Ooi Poh Yee ketika kedudukan menjadi 45-103.

Pasukan negara terus membolosi pertahanan Myanmar dan pasukan lawan hanya dapat menjaringkan lima mata sahaja dalam suku keempat berbanding Malaysia 22 mata.

"Kita perlu lihat keputusan perlawanan antara Indonesia dan Thailand. Kalau Thailand kalah, secara automatik kita memenangi emas.

"Walau apa pun, kita masih perlu memberikan saingan yang baik kepada Thailand nanti jam enam petang esok," kata Yoong.

Menurut Yoong, prestasi anak buahnya sangat baik semasa berdepan Myanmar.

"Saya harap mereka terus fokus dalam perlawanan menentang Thailand, dan jangan pedulikan apa keputusan antara Indonesia dan Thailand.

"Saya agak risau apabila Thailand memberikan tekanan dalam perlawanan. Kalau mereka dapat melaluinya, tiada masalah," ujar Yoong lagi.

Lihat Komen
ADS