Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Pihak yang dilantik menyediakan makanan untuk atlet sepanjang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak kejadian keracunan makanan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata terdapat banyak faktor yang memungkinkan berlaku keracunan makanan antaranya makanan disedia awal dan lewat dimakan.

"Pastikan tiada makanan yang dimasak terlalu lama dan baru dimakan kerana ia boleh menyebabkan dicemari kuman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inspirasi UPSR Peringkat Negeri Pulau Pinang 2017 di Kolej Vokasional Balik Pulau di Balik Pulau, hari ini.

Beliau mengulas insiden 16 atlet Malaysia yang menyertai pelbagai acara pada KL2017 mengalami keracunan makanan semalam tetapi hanya seorang daripada mereka dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur dan dijangka keluar hospital hari ini.

Kontinjen tuan rumah Malaysia berjumlah 1,234 orang termasuk 844 atlet dalam edisi ke-29 sukan serantau itu yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos.

“Jika berlaku keracunan makanan kita (kementerian) perlu tahu apa sumbernya dan akan mengambil tindakan yang sesuai untuk kes itu," kata Dr Hilmi.

-Bernama

Lihat Komen
ADS