SUKAN SEA | Sampailah ke garisan terakhir, Malaysia bakal berdepan Thailand dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA.

Tuah pemenang utama temasya edisi ini bakal ditetapkan antara Malaysia selaku tuan rumah dengan Thailand yang berjaya mengalahkan Indonesia 70-61.

Keputusan itu juga bermakna Indonesia - yang memenang pingat perak dua tahun lalu di Singapura - tidak cukup bernasib baik kali ini.

Indonesia akan berdepan dengan Singapura dalam perlawanan terakhir mereka selepas ini.

Tidak ketinggalan menarik, Filipina juga tersungkur daripada saingan pingat gangsa yang bakal dimiliki Indonesia. Thailand pula merupakan pemenang pingat gangsa pada Sukan SEA edisi 2015.

Indonesia kalah kepada Malaysia sebanyak 15 mata, 72-57 sebelum ini manakala Thailand pula kalah tipis kepada Filipina 67-69.

Pertahanan kunci utama

Sementara itu ketua pasukan yang memimpin skuad kebangsaan di Sukan SEA untuk kali ketiga, Nur Izzati Yaakob, menyimpulkan kunci utama untuk memastikan pingat emas terus dipertahankan di tanah air sendiri adalah pertahanan yang konsisten.

"Pertahanan. Kita perlu konsisten menghadapi pasukan yang mengawal tempo dengan baik seperti Thailand. Tiada ruang untuk strategi pertahanan yang terlalu longgar dan mudah dibolosi pemain.

"Kalau dibandingkan, skuad mereka lebih kukuh khususnya dari perimeter dalam.

"Berbeza dengan skuad pada edisi lalu, Klanbut Supira mengawal sangat baik di bahagian dalam. Kita tidak mampu mengalahkan mereka sekiranya terperangkap dalam tempo yang dikawal Thailand," kata Izzati kepada Malaysiakini.

"Saya juga berharap agar penyokong-penyokong sukan bola keranjang Malaysia dapat memenuhi Stadium MABA esok sempena perlawanan terakhir itu. Kita harapkan yang terbaik untuk negara kita sempena Hari Kemerdekaan nanti," tambah Izzati.

Kena bijak guna masa

Sementara itu, menurut ketua jurulatih Thailand ketika ditemui wartawan selepas perlawanan dengan Indonesia, Christopher Daleo, anak buahnya akan memberikan perlawanan yang terbaik kepada Malaysia dalam misi pingat emas.

"Kami berlawan dengan Fiipina tetapi kalah tipis dengan hanya dua mata. Saya ingatkan pemain tentang pengurusan masa dan ketika saat-saat yang genting, mereka perlu bijak menggunakan masa mengatasi lawan dan mengawal tempo.

"Kawalan tempo yang efektif - inilah kunci kejayaan kami mengatasi Indonesia. Untuk Malaysia, kami akan berehat secukupnya dan saya ada rancangan dalam perlawanan seterusnya," kata Daleo.

Perlawanan pingat emas bola keranjang wanita antara Malaysia dan Thailand akan diadakan pada 26 Ogos, jam 6 petang.