Paling Popular
Terkini

SUKAN SEA I Sentuhan penyerang negara, N Thanabalan pada penghujung masa perlawanan‎ melayakkan skuad bola sepak Malaysia ke pentas akhir selepas menewaskan Indonesia 1-0, sebentar tadi.

Ia sekali gus meletakkan skuad muda Malaysia itu menjadi pencabar kepada Thailand yang lebih awal mengesahkan tempat ke pentas akhir selepas menewaskan Myanmar 1-0, petang tadi.

Suasana di Stadium Shah Alam itu memberi debaran tersendiri apabila kedua-dua pasukan mempamerkan saingan sengit.

Namun, minit ke-86 menjadi pemisah selepas anak buah Datuk Ong Kim Swee berjaya meledak gol tunggal paling bermakna untuk Malaysia.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing dengan baik dan seimbang secara keseluruhan.

Walaupun tuan rumah agak menonjol dalam menguasaan bola dan serangan, Indonesia tetap tampil melawan dengan pertahanan kental dan serangan balas pantas mencemaskan pertahanan Malaysia.

Beberapa percubaan di awal permainan ‎berjaya dicipta Adib Zainuddin dan rakan-rakan, bagaimanapun gagal mencipta penyudah sempurna.

Debaran 45 minit pertama bagaimanapun berkesudahan tanpa jaringan.

Kembali dari bilik rehat, pasukan negara tampil lebih berkeyakinan dengan menggandakan keghairahan memburu gol.

Bagaimanapun, Indonesia tetap mengimbangi saingan malah hampir mengecewakan penyokong tuan rumah.

Antara ‎percubaan Evan Dimas mencemaskan kubu Malaysia dengan rembatan kencang pada minit ke-63 dan mujurnya sedikit tersasar.

Dua minit berselang, skuad Garuda sekali lagi mengejutkan benteng negara yang sedikit kelekaan dan dengan pantas menafikan peluang Indonesia.

Menjelang penghujung perlawanan, ‎anak buah Luis Milla akhirnya berjaya dibolosi tandukkan Thanabalan.

Bola yang berpunca dari sepakan penjuru oleh Nor Azam Azih bijak diambil peluang oleh pemain Felcra FC untuk menewaskan penjaga gawang lawan, Satria Tama.

Kedudukan 1-0 dengan baki masa perlawanan kurang 10 minit ternyata memberi tuah buat pasukan tuan rumah untuk bersaing di pentas akhir.

Malaysia dengan misi untuk meraih pingat emas bola sepak dalam Sukan SEA perlu berjuang dengan aksi terbaik berdepan juara bertahan iaitu Thailand pada 29 Ogos nanti.

Lihat Komen
ADS