Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Kira-kira 24 jam sebelum wisel perlawanan ditiup pengadil suasana di sekitar di Stadium Shah Alam sudah mula kecoh, sesak dan berasak-asak hari ini.

Semuanya gara-gara begitu ramai penyokong bola sepak tanah air gagal mendapatkan tiket mereka selepas lebih lapan jam beratur.

Difahamkan rata-rata mereka mula berkampung di pekarangan stadium seawal jam 10 malam tadi walaupun kaunter tiket hanya dibuka jam 10.40 pagi ini.

Namun, ekoran keadaan yang pada awalnya tenang tadi bertukar kecoh menyebabkan pihak bertugas terpaksa menutup kaunter jualan tiket sekitar jam 11.00 pagi.

Tiada jualan tiket secara atas talian seperti sebelum ini.

Tinjauan Malaysiakini di Stadium Shah Alam mendapati hanya tiga kaunter dibuka yang kemudiannya ditutup sementara selepas lebih empat jam ditutup.

Fazli Ghazali, 18,, dari Puchong berkata beliau tiba di stadium seawal jam 5 pagi untuk mendapatkan tiket.

Namun, selepas lebih tujuh jam menunggu beliau semakin berang.

Mana tidaknya, dalam keadaan mengantuk selepas bekerja malam beliau terus ke stadium tanpa berehat.

"Saya datang sini lepas habis kerja kak, stres saya kak.

"Rasa nak bunuh diri dah ni," kata Fazli kepala Malaysiakini.

Manakala, Mohd Fazreesyam Jefriman, 18, dari Kuala Krai, Kelantan pula berkata beliau bersama tiga rakannya sanggup datang dari jauh semata-mata untuk berkongsi semangat dan menyaksikan perlawanan akhir Malaysia-Thailand.

Namun, dia berkata sedikit kecewa apabila terpaksa menunggu begitu lama bagi mendapatkan tiket tersebut.

"Saya datang naik bas kak dari Kelantan. Kami sanggup datang dari jauh untuk tengok perlawanan akhir ni.

"Sakit kepala, lapar, migraine semua ada dah ni. Ini pun tak tahu dapat tiket atau tak, kalau tak dapat kecewalah kami pergi tengok dekat kedai mamak saja," katanya.

Bagi Khairi,36 dari Ipoh kakinya sudah sakit akibat lebih lima jam beratur.

Walaupun sedikit kecewa namun masih mengharap untuk dapatkan tiket perlawanan akhir itu.

"Saya dah lima jam ada dekat sini dari Ipoh, kaki pun dah sakit. Tapi tengoklah dengan keadaan sekarang ini agak mustahil untuk dapatkan tiket," kata Khairi.

Bagaimanapun, kaunter tiket dibuka semula pada jam 3.30 petang.

Dan melihat pegawai kaunter tiket masuk ke kaunter rata-rata penyokong bersorak sambil menepuk tangan.

Namun, difahamkan hanya 20,000 tiket dibekalkan.

Lihat Komen
ADS