Paling Popular
Terkini

Polis memberi amaran keras kepada penonton perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA antara Malaysia dan Thailand esok supaya tidak menimbulkan kekecohan atau membakar suar sama ada di dalam atau di luar stadium.

ACP Shafien Mamat berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan sebarang kesalahan atau kekecohan ketika perlawanan berlangsung di Stadium Shah Alam.

Katanya, bagi mengelak sebarang kekecohan, pihaknya akan mempertingkatkan kawalan keselamatan dengan menempatkan lebih ramai pegawai serta anggota polis sepanjang perlawanan.

"Saya menyeru semua penyokong supaya jadikan perlawanan akhir ini berlangsung dengan baik tanpa menimbulkan huru hara dan tunjukkanlah semangat kesukanan yang tinggi kerana ia melambangkan imej negara.

"Orang ramai juga diminta mematuhi arahan polis semasa berada di dalam atau di luar stadium di mana pada malam perlawanan akhir esok kami akan membuat kawalan fizikal dan akan menyediakan mesin pengimbas," kata Shafien ketika ditemui pemberita di perkarangan stadium.

Beliau berkata amaran berkenaan adalah demi menjaga imej negara berikutan perlawanan itu disiarkan secara langsung malah turut ditonton negara luar.

Shafien juga menggalakkan penyokong dan penonton hadir ke stadium lebih awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas pada saat akhir sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Ini kerana, katanya, 70,000 penyokong dan penonton dijangka menghadiri perlawanan itu dan kehadiran lebih awal dapat mengurangkan kesesakan di pintu-pintu masuk stadium.

Menurutnya, tiga pintu masuk ke stadium akan dibuka seawal jam 4 petang dan pintu A adalah bagi kemasukan penyokong Thailand manakala pintu C serta D bagi penyokong Malaysia.

Perlawanan bola sepak Sukan SEA antara Malaysia dan Thailand merupakan perlawanan akhir bagi merebut emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

 

Lihat Komen
ADS