Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Badminton wanita akhiri kemarau emas sejak 2003

SUKAN SEA| Malaysia menamatkan kemarau selama 14 tahun untuk memburu kejuaraan badminton perseorangan wanita dalam Sukan SEA apabila final acara itu menemukan kedua-dua wakil negara, Soniia Cheah dan Goh Jin Wei, esok.

Malaysia mengesahkan emas dan perak menjadi milik negara apabila PEMAIN nombor satu negara, Soniia dan pemain muda, Jin Wei, berjaya mengesahkan slot final selepas melepasi halangan sukar separuh akhir di Arena Axiata, di sini hari ini.

Soniia berjuang habis-habisan sebelum mengetepikan cabaran pemain Indonesia, Greogoria Mariska Tunjung dengan 22-20, 21-13 manakala Jin Wei mengejutkan pemain ranking ke-22 dunia, Pornpawee Chochuwong dari Thailand, 21-19, 10-21, 21-18.

Malaysia kali terakhir meraih emas dalam acara tersebut melalui Datin Wong Mew Choo iaitu isteri jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, pada Sukan SEA 2003 di Vietnam.

"Dua pemain Malaysia ke final, sudah pasti menjadi sejarah...tidak kira siapa menang esok...yang penting emas milik Malaysia,” kata Jin Wei, 17, yang akan menentang Soniia, 24, buat pertama kali di pentas antabangsa.

Mengulas pertemuan dengan Pornpawee, Jin Wei menyifatkanya sebagai perlawanan sengit selain mengakui berasa tertekan kerana bertekad mahu ke final selepas pencapaian gangsa pada edisi lepas di Singapura, dua tahun lepas.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara , Ong Yew Sin/Teo Ee Yi layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan beregu Thailand, Bodin Isara/Nipitphon Phuanghuapet, 21-12, 21-15 untuk bertemu satu lagi beregu Thailand, Kittinupong Kedren/Dechapol Puavaranukroh.

Dalam pada itu, beregu utama wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei gagal meneruskan cabaran negara apabila tumpas kepada wakil Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 17-21, 22-20, 21-17 dalam peringkat separuh akhir.

Bagi acara beregu campuran pula, Goh Soon Huat/iShevon Lai menewaskan beregu ke-12 dunia dari Thailand, Bodin Isara/SavitreeAmitrapai 18-21, 26-24, 21-18 untuk ke pentas final.

Soon Huat/Shevon dijadualkan bertemu Dechapol Puavaranukroh/Sapsiree Taerattananchai selepas pasangan Thailand itu menundukkan satu lagi gandingan negara, Chan Peng Soon/Cheah Yee See, 21-16, 18-21, 23-21.

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS