Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
FAM: Bukan kami yang jual tiket bola final
Diterbitkan:  Aug 29, 2017 2:30 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kesal kerana dipersalahkan susulan kekecohan penjualan tiket perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 2017 antara Malaysia dan Thailand malam ini.

Setiausaha agungnya petang ini tampil menjelaskan bahawa urusan jualan bagi acara bola sepak dan futsal sepanjang temasya dikelolakan sepenuhnya oleh Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (Masoc) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

FAM dan Football Malaysia Limited Liability Partnership tidak terlibat, kata Hamidin Mohd Amin.

“Sebagai mewakili FAM, saya berasa kesal kerana terdapat segelintir pihak yang tetap mahu menyalahkan FAM apabila berlaku kekecohan dalam hal penjualan tiket perlawanan akhir ini.

“Sedangkan pihak kami hanya berperanan dalam urusan berkaitan teknikal perlawanan bagi acara bola sepak dan futsal sepanjang Sukan SEA 2017 ini,” katanya.

Beribu-ribu penyokong Harimau Malaya kecewa apabila tiket perlawanan akhir malam ini habis terjual setelah bersesak teruk untuk mendapatkannya di Stadium Shah Alam semalam.

Terdapat individu bermalam di stadium kelmarin untuk mendapatkan tiket yang hanya dijual di tempat itu sahaja. Berlaku kekecohan gara-gara terdapat penyokong merempuh pagar penghadang.

Pemimpin pembangkang mempertikaikan kaedah jualan tiket yang didakwa mereka tidak adil kerana tidak dijual atas talian dan dijual pada hari bekerja.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menjelaskan tiada jualan atas talian dibuat kerana tiada jaminan keselamatan sistem pembayaran susulan kesesakan talian yang tinggi.

Lihat Komen
ADS