Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini mengesahkan tidak dapat memenuhi satu sahaja daripada enam kriteria yang ditetapkan untuk mendapatkan lesen kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2018 dan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018.

Setiausaha Kehormatnya Datuk Aminuddin Omar berkata, KFA telah dimaklumkan oleh FAM berkenaan status First Instance Body (FIB) bahawa pasukan itu tidak mendapat kelulusan tersebut dan perlu memberi penjelasan lanjut berkenaan kriteria kewangan yang melibatkan perkara subjektif.

“KFA telah menghantar rayuan kepada Badan Rayuan (AB) dengan dokumen sokongan berkaitan untuk menjelaskan kedudukan sebenar mengikut keperluan FIB.

“Badan Rayuan dijadualkan bersidang pada 15 Sept ini bagi menilai rayuan pasukan yang tidak mendapat kelulusan perlesenan kelab melalui FIB,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar hari ini.

Kenyataan media FAM semalam menyatakan hanya tujuh daripada 12 pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super musim ini telah lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab FAM bagi membolehkan mereka beraksi pada musim depan.

Pasukan berkenaan ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Pahang, Perak, PKNS FC, Pulau Pinang dan T-TEAM FC, di mana untuk mendapatkan lesen tersebut, setiap pasukan perlu memenuhi enam syarat perlesenan kelab iaitu kriteria kesukanan, infrastruktur, pentadbiran, undang-undang, kewangan dan perniagaan.

Setelah AB bersidang, FAM pada 30 Sept pula akan dijadual mula merekodkan pasukan yang layak atau tidak layak diberikan lesen kelab oleh FAM bagi kejohanan Liga Malaysa serta Kejohanan AFC mulai musim 2018, katanya.

“Pada 31 Okt ini pula badan perlesenan kelab FAM akan memaklumkan kepada AFC status muktamad kelab-kelab Liga Malaysia yang melepasi syarat Perlesenan Kelab FAM/AFC,” katanya.

Aminuddin berkata pihaknya percaya semua persediaan yang telah dilakukan bermula daripada permohonan awal perlesenan kelab FAM dan AFC teratur mengikut aspek yang telah ditentukan dan akan terus memberi komitmen penuh bagi mendapatkan lesen kelab.

“Selagi proses perlesenan kelab masih terbuka dan tidak muktamad, semua pihak berkepentingan dapat mengikuti perkembangan positif perlesenan kelab di Malaysia dan terus sokong usaha KFA mencapai tahap piawai dalam pengurusan bola sepak moden,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS