Paling Popular
Terkini

Bukan tidak ada atlet berbakat besar, bukan tidak ramai belia minat bersukan dan berpotensi untuk digilap ke arah pencapaian lebih tinggi, namun sedihnya kerajaan Kelantan gagal memainkan peranan membangunkan bidang ‎itu selama hampir 27 tahun memerintah.

Itulah luahan Ketua Pemuda Umno Kelantan yang kecewa melihat pembangunan sukan di negeri itu diabaikan oleh PAS.

Mohd Azam Ismail berkata, walaupun berbangga dengan komitmen 40 atlet yang turut berada dalam kontinjen Sukan SEA 2017, Kelantan sepatutnya boleh melahirkan lebih ramai atlet untuk mewakili Malaysia.

‎"Apa yang saya lihat sepanjang penglibatan selaku timbalan pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, kerajaan negeri memang tidak memberi apa-apa sumbangan.

"Kebanyakan program pembangunan sukan yang kita buat di Kelantan ini disumbangkan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui sekolah dan MSN," katanya ketika menjadi panel program Sembang Teh Tarik 2.0 #PraBajet2018 Hasrat Anak Muda Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

Pada program anjuran Ahli Parlimen Belia Kelantan dan BN Youth Volunteers itu, Mohd Azam berkongsi pengalaman pahit getir menjaga entiti sukan di negeri itu tanpa bantuan kerajaan negeri.

Syarikat balak kena tempias

Berada dalam MSN Kelantan sebagai timbalan pengerusi katanya, mereka terpaksa bergelut dengan masalah dana yang terhad ‎bagi menjaga pelbagai jenis sukan serta belanja mengurus.

"Setiap tahun kita ada sedikit peruntukan diberikan pihak kementerian melalui Majlis Sukan Negara. Peruntukan itu termasuk belanja mengurus dan buat program-program pembangunan sukan.

"Bayangkan kalau Msjlis Sukan Negara bagi contohnya RM1 juta setahun. Kami di MSN Kelantan menjaga berbelas-belas jenis sukan untuk rakyat Kelantan dengan duit RM1 juta.

"Nak bayar gaji pekerja, buat program. Bayangkan kerajaan negeri tak pernah bagi," katanya di hadapan kira-kira 70 hadirin.

Beliau yang juga presiden Persatuan Hoki Kelantan pernah mengesyorkan supaya kerajaan negeri itu mengambil tanggungjawab terhadap beberapa acara sukan yang berpotensi tinggi.

Namun jelasnya, apa yang dicadangkan itu tidak pernah berlaku.

"Misalnya PKINK (Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan) ambil jaga hoki, syarikat-syarikat balak jaga lumba basikal. Saya bagi cadangan tapi tak berlakulah," katanya sinis.

‎Tambah Mohd Azam, beliau cukup sedih ketika mengemudi pasukan hoki pada 2015 apabila gagal memberi gaji kepada pemain dan jurulatih‎.

"Bayangkanlah, masa itu tahun kedua saya pegang (jawatan). Persatuan dalam keadaan serba kekurangan tetapi ada pemain yang hebat, saya tak mampu nak jaga mereka.

Jurulatih hoki RM30

"Pemain terbabit ditawarkan gaji (oleh negeri lain), saya hanya boleh bagi elaun latihan harian kepada pemain saya. Negeri lain boleh bayar gaji RM2,000 ke RM3,000 kepada pemain dan pelatih. Saya hanya boleh bayar elaun jurulatih hoki RM30 sehari untuk latih pasukan negeri," katanya.

Justeru tegas ketua pemuda Umno Ketereh itu, sehebat mana pun sesebuah negeri aspek fasiliti adalah paling penting dalam pembangunan sukan.

Katanya, ia melibatkan kos cukup besar dan mana mungkin MSN Kelantan sebagai satu entiti mampu keluarkan belanja yang besar.

"Kita tak ada pendapatan, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri, manakala kerajaan persekutuan sudah salurkan peruntukan melalui Kementerian Belia dan Sukan.

"Kerajaan negeri jika mahu jaga anak muda, mereka perlu mainkan peranan. Kalau duduk isytihar ada macam-macam projek dan untung itu untung ini, apa gunanya peruntukan dan kutipan cukai ‎tidak boleh disalurkan pada program pembangunan untuk belia Kelantan," tegas Mohd Azam.


N Faizal Ghazali ialah wartawan Malaysiakini berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel [email protected].

Lihat Komen
ADS