Jurulatih disyaki rogol atlet digantung tugas
Khidmat jurulatih akuatik yang dikaitkan dengan serangan seksual ke atas atlet negara digantung sehingga siasatan mengenainya selesai.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kerajaan mahu Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Renang Amatur Malaysia menjalankan siasatan masing-masing.
Arahan itu dibuat dua hari selepas suspek dilaporkan ditahan polis di Bukit Jalil.
Kata Khairy semua pihak juga perlu menghormati hak mangsa dan semua atlet terjun dengan tidak mengganggu mereka.
"Saya meminta semua pihak menghormati privasi mangsa dan juga semua atlet terjun negara.
"Mereka juga akan diberi bantuan kaunseling oleh pakar yang akan dikenal pasti dalam masa terdekat," katanya melalui kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan seorang jurulatih pasukan renang Malaysia ditahan atas tuduhan merogol seorang atlet.
Lelaki berusia 35 tahun dikatakan warga asing tetapi memiliki status penduduk tetap di negara ini dan berada di Malaysia sejak lebih lima tahun lalu.
Dia juga seorang bekas atlet dan pernah menyertai sukan Olimpik.
Insiden rogol itu didakwa berlaku pada bulan lalu dan polis menerima aduan daripada seorang mangsa.
Menurut Khairy sebagai tindakan mengelak kejadian seumpama itu berulang kerajaan akan menubuhkan sebuah pasukan petugas bagi mengkaji isu gangguan seksual dan psikologi dalam program sukan berprestasi tinggi negara.
Katanya Datuk Marina Chin dipilih untuk mengetuai pasukan khas berkenaan.
Marina adalah bekas atlet kebangsaan dan kini menjadi anggota Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara. Beliau juga diberi kepercayaan menjadi ketua delegasi Malaysia semasa Sukan SEA di Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Jawatankuasa ini akan mengemukakan laporan dan syor-syor terus kepada saya," kata Khairy.

