Ribuan penyokong Kedah bersesak dapatkan tiket final
PIALA MALAYSIA | Lebih 3,000 penyokong Lang Merah bersesak-sesak di empat kaunter jualan tiket di Stadium Darul Aman di Alor Setar bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan JDT yang dijadualkan Sabtu ini.
Tinjauan Bernama hingga jam 9.30 pagi mendapati rata-rata penyokong Kedah yang bermalam dan beratur seawal 8 malam semalam berjaya mendapatkan tiket sebaik kaunter jualan dibuka pada 9 pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Shaharol Niza Omar berkata hampir 10,000 tiket yang disediakan di empat kaunter habis terjual dalam tempoh 45 minit.
"Jumlah tiket yang kita dapat ialah 30,000 tetapi 18,000 telah diperuntukkan kepada 400 bas manakala lebih 3,000 kepada kelab gabungan, pasukan, exco KFA dan penaja," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Darul Aman, hari ini.

Beliau berkata proses penjualan tiket berjalan lancar namun berlaku sedikit kekecohan apabila ada penyokong yang tidak mendapat tiket.
"Satu kaunter tiket khas untuk penyokong wanita juga dibuka bagi memudahkan pembelian tiket dan keadaan terkawal dengan bantuan daripada pihak polis," katanya.
Mohd Hafiz Muhammad Halimy, 35, dari Yan gembira kerana berjaya mendapatkan tiket selepas beratur seawal 9 malam semalam bersama seorang rakannya.
Sementara itu, Siti Nabilah Salim, 23, pula berkata dia kecewa selepas gagal mendapatkan tiket walaupun telah menunggu di hadapan kaunter sejak 8 malam tadi.
"Saya sedih kerana tidak dapat menyaksikan final di Stadium Shah Alam nanti kerana setiap kali pasukan berjaya ke final saya akan turun memberi sokongan kepada mereka," katanya.
Dalam pada itu, ratusan penyokong kecewa yang tidak mendapat tiket berkumpul di hadapan Pejabat KFA sekitar 10.15 pagi bagi menyatakan kekecewaan mereka.
- Bernama

