Ketika Mile Svilar turun untuk menjadi benteng terakhir dapat diharapkan oleh kelabnya dalam kancah Liga Juara-juara tahun ini, dia mencatat sejarah rekod tersendiri.

Svilar menjadi pemain termuda pernah beraksi untuk kejohanan berkenaan setakat ini.

Dia baru berusia 18 tahun namun diberi kepercayaan menjaga gawang Benfica.

Awal pagi tadi pemain dari Belgium itu melakar dua lagi sejarah Liga Juara-juara.

Pada minit ke-14 Svilar menyelamatkan tendangan penalti - yang lemah - oleh pemain Manchester United, Anthony Martial.

Pada detik itu Svilar mencatat sejarah kedua apabila menjadi pemain termuda menggagalkan tendangan penalti dalam sejarah kejohanan berkenaan.

Kira-kira 30 minit selepas menjadi wira dia sekali lagi mencatat sejarah.

Ia bermula dengan gerakan hantaran ke belakang oleh Romelu Lukaku kepada Nemanja Matic sebelum pemain Serbia itu melepaskan tendangan kencang ke kiri gol Benfica.

Ia tidak menerobos gawang sebaliknya terkena tiang dan melantun. Malangnya lantunan bola berkenaan terkena ke badan Svilar sebelum menerjah gol.

Serta-merta Svilar menjadi pemain termuda membuat jaringan ke gol sendiri dalam Liga Juara-juara.

Svilar berusia 18 tahun 52 hari awal pagi tadi.

Pada 19 Okt lalu dia turut melakukan aksi cemerkap ketika Benfica melayan kunjungan MU ke Lisbon.

Marcus Rashford membuat tendangan tinggi dari jauh pada minit ke-64 dan bola itu melekat pada tangan Svilar. Masalahnya dia gagal berdiri dengan baik dan membawa bola itu melepasi garisan gol.

Benfica kalah 0-1 kepada MU pada perlawanan berkenaan.

 

 

Pertemuan kedua mereka pagi tadi di Old Trafford berakhir dengan kemenangan 2-0 untuk kelab bimbingan Jose Mourinho itu.

Selain gol 'dihadiahkan' oleh Svilar secara tidak sengaja itu, satu lagi penjaring gol ialah Daley Blind yang menyempurnakan tendangan penalti kedua perlawanan ekoran kekasaran dilakukan pertahaan Benfica ke atas Rashford pada minit ke-76.

Kemenangan itu meletakkan MU berada di tempat teratas kumpulan A dengan 12 mata hasil kemenangan semua empat perlawanan.

FC Basel dari Switzerland berada di tempat kedua dengan enam mata diikuti CSKA Moscow ( juga enam mata) dan terakhir, Benfica yang kalah semua empat perlawanan.

MU hanya perlukan satu mata daripada perlawanan seterusnya untuk menjamin tempat ke pusingan kalah mati. Mereka akan bertemu FC Basel pada 22 November ini.