SERIE A | Bagaikan berjaya menjulang kejuaraan dunia - begitu kegembiraan yang dapat difahami terpapar daripada aksi pemain, pengurusan dan penyokong Benevento semalam.

Selepas 14 kali mencuba, kelab tercorot kelab Serie A Itali itu berjaya memperoleh mata pertama mereka dalam perlawanan ke-15.

Lebih membanggakan, mereka mengekang bukan sekadar kelab biasa, sebaliknya skuad yang mempunyai sejarah gemilang di peringkat Eropah, iaitu AC Milan.

Kejayaan dramatik itu pula tidak datang dengan mudah.

Benevento tercicir pada minit ke-38 melalui jaringan Giacomo Bonaventura sebelum George Puscas menyamakan kedudukan pada minit ke-50.

AC Milan sekali lagi berada di depan dengan jaringan Nikola Kalinic kira-kira tujuh minit kemudian.

Perlawanan seakan-akan bakal berakhir dengan rekod 'telur' kekal menjadi milik Benevento apabila permainan berlangsung dalam lima minit terakhir waktu kecederaan.

Ketika itulah penonton di Stadium Ciro Vigorito yang menjadi gelanggang Benevento bersorak keriangan.

Mereka berjaya menyamakan kedudukan, dan ia bukan dijaringkan oleh pemain penyerang, sebaliknya penjaga gol Alberto Brignoli.

Benevento mencatat rekod sebagai kelab berprestasi terburuk di Eropah setakat ini apabila gagal mendapatkan sebarang mata selepas 14 kali perlawanan.

Sebelum turun menentang AC Milan, kelab itu hanya dapat menjaringkan enam gol berbanding dibolosi lawan 34 kali.

Tak sepatutnya gagal menang

Ketika bertemu Napoli Benevento dibelasah 0-6, makanakal Roma dan Lazio tidak memberi sebarang ihsan apabila menenggelamkan mereka masing-masing 0-4. dan 0-5.

Ketika AC Milan diletakkan di bawah kendalian tenaga baru, Gennaro Gattuso, Benevento dilihat bersedia menerima kekalahan ke-15.

Namun tuah berada di kepala Brignoli yang membuat tandukan kencang melepasi jangkauan penjaga gol AC Milan, Gianluigi Donnarumma, sekali gus mengaibkan kemunculan sulung Gattuso sebagai pengurus di kelab berkenaan.

Untuk rekod AC Milan kini berada di kedudukan ke lapan Serie A dengan 21 mata.

Bercakap kepada media selepas perlawanan itu Gattuso berkata dia lebih rela ditikam dengan belati berbanding melihat skuadnya gagal memperoleh mata penuh.

"Kami ialah AC Milan dan kami sepatutnya lebih baik. Apa yang kami buat tadi tidak memadai.

"Saya tak pernah menyangka menderita akibat dibolosi oleh penjaga gol di minit ke-95," katanya.

Namun Gattuso enggan menyalahkan pemainnya dan berazam untuk bangkit selepas ini.

Sementara itu pengurus Benevento Roberto De Zerbi memuji kesungguhan pemainnya bermati-matian hingga ke detik terakhir.

"Mereka berhak mendapat pujian sebab mereka tak pernah mengalah.

"Sebelum ini ada perlawanan yang kami tak berhak kalah dan hari ini kami berhak mendapat mata itu," katanya.