Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kim Swee hantar 26 pemain jalani latihan di Korea
Diterbitkan:  Dec 15, 2017 3:30 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Ketua jurulatih skuad Bawah-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee hari ini mengumumkan senarai 26 pemain yang dipilih untuk kem latihan pusat selama dua minggu di Mokpo, Korea Selatan bermula 17 Dis.

Ia adalah sebagai persediaan untuk Kejuaraan B-23 AFC 2018 pada 9-27 Jan depan di Jiangsu, China.

Berdasarkan senarai tersebut, Kim Swee menggugurkan penjaga gol Amierul Hakimi Awang dari Terengganu FC II, Sean Eugene Selvaraj dari Selangor serta Danial Ashraf Abdullah dari Kelantan yang mengalami kecederaan daripada senarai awal 29 pemain yang menjalani latihan pusat selama tiga minggu di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak 27 Nov lalu.

“Selepas mengambil kira semua faktor, satu keputusan yang amat sukar untuk saya lakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini merujuk kepada pengguguran beberapa pemain tersebut.

Skuad kendalian Kim Swee itu semalam terikat tanpa jaringan dengan Melaka United dalam aksi persahabatan kedua di Stadium Shah Alam, selepas mereka membelasah PJ Rangers FC 8-2 pada aksi persahabatan pertama di Padang Wisma FAM, Sabtu lepas.

Menurut kenyataan itu, skuad 26 pemain tersebut akan berlepas ke Mokpo pada Ahad ini bagi menjalani latihan serta menghadapi tiga perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan Korea Selatan iaitu Mokpo City pada 20 Dis, Jeonju University pada 22 Disember dan Jeonju Citizen pada 28 Dis.

Selepas mengharungi tiga aksi persahabatan itu, Kim Swee akan menyenaraikan senarai akhir 23 pemain ke Kejuaraan B-23 AFC 2018, apabila mereka terbang dari Korea Selatan ke Nanjing, China pada 30 Dis untuk satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa pada 5 Jan 2018.

Skuad negara yang dijadualkan tiba di Changshu pada 6 Jan, untuk memulakan saingan peringkat Kumpulan C menentang Iraq pada 10 Jan dan Jordan pada 13 Jan, sebelum menamatkan peringkat kumpulan menentang Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

Malaysia perlu muncul sebagai dua pasukan teratas kumpulan untuk mara ke peringkat suku akhir yang akan berlangsung pada 20 Jan, diikuti separuh akhir pada 23 Jan dan final pada 27 Jan. -Bernama

Lihat Komen
ADS