Setia Faiz bersama Harimau Kumbang
Walaupun tidak lagi ada tempat untuk bersaing dalam Liga Super pemain yang pernah mengharumkan nama di peringkat dunia, Mohd Faiz Subri, memilih untuk kekal bersama Pulau Pinang.
Kata Mohd Faiz, dia ada menerima tawaran bermain bersama beberapa pasukan lain tetapi ia belum dapat membuka hatinya untuk berhijrah keluar dari negeri itu.
“Saya mahu membantu pasukan ini kembali bangkit setelah jatuh ke Liga Perdana musim depan,” katanya seperti dipetik Sinar Online.
Mohd Faiz, 30, adalah pemain skuad Harimau Kumbang yang mencipta nama sebagai pemenang Anugerah Puskas pada tahun lalu.
Anugerah itu diberikan kepada seorang pemain yang membuat jaringan gol tercantik berdasarkan undian peminat di seluruh dunia.
Setiap tahun tiga pemain akan dicalonkan di peringkat akhir untuk diundi.
Cipta 13 jaringan
Mohd Faiz mengetepikan pemain dari Brazil, Johnath Marlone Azevedo da Silva dan pemain skuad kebangsaan wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk menerima anugerah berkenaan.
Pulau Pinang mendapat 'kenaikan pangkat' apabila berjaya menyertai Liga Super pada musim ini, namun prestasi yang dipamerkan di peringkat tertinggi liga Malaysi itu tidak memberangsangkan.
Skuad Harimau Kumbang itu berada di tempat tercorot Liga Super dengan hanya tiga kemenangan, tiga kali seri dan baki 16 perlawanan lain berakhir dengan kekalahan.

Pencapaian itu memaksa Pulau Pinang kembali melorot ke Liga Perdana untuk tahun depan.
Mohd Faiz menyarung jersi Pulau Pinang sejak 2015 dan mencipta 13 jaringan bersama skuad itu setakat ini.
Mengenai azamnya anak kelahiran Ayer Hitam di Kedah itu mahu membantu Pulau Pinang kembali bersaing di Liga Super pada 2019
“Memang ada perbezaan antara bermain di Liga Super dan Liga Perdana, tapi itu bukan masalah kerana saya bertekad mahu membantu Pulau Pinang kembali kuat,” katanya.

