Kuala Lumpur terpaksa lupakan Jupe

   

Pendatang baru ke Liga Super, Kuala Lumpur terpaksa melupakan hasrat mendapatkan khidmat pemain pertahanan kelab Persib Bandung, Achmad Jufriyanto untuk melengkapkan kuota pemain import musim 2018.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata pihaknya terpaksa membuat keputusan itu berikutan kenyataan Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Edy Rahmayadi yang tidak mahu pemain republik itu beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Kami menyerahkan kembali pemain itu ke Persib Bandung kerana mahu menjaga hubungan baik bersama Indonesia. Kini kami sedang mencari pemain pertahanan tengah yang boleh menggantikan beliau. Kalau tak dapat ikat pemain tempatan, baru kita cari pemain import.

Mungkin akan cuba mendapatkan pemain dari Singapura atau Filipina, kerana jika dapatkan pemain lain dari Indonesia, kita mungkin akan menghadapi masalah yang sama. Bagaimanapun, kita masih ada masa untuk melengkapkan senarai pemain sebelum liga membuka tirai pada Februari,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sebelum ini, skuad ‘The City Boys’ mendapat persetujuan daripada pengurusan kelab Persib Bandung dan pemain berusia 30 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Jupe, yang mempunyai kebolehan beraksi di bahagian pertahanan dan tengah.

Namun, media Indonesia melaporkan bahawa Edy tidak begitu gembira dengan keputusan beberapa pemain dari Indonesia, yang mahu beraksi bersama pasukan Malaysia, kerana ia mungkin menjejaskan persiapan pasukan kebangsaan negara itu apabila menjadi tuan rumah Sukan Asia, Ogos nanti.

Situasi tersebut turut dihadapi oleh Selangor, apabila dua pemain pasukan Bawah-23 tahun negara itu, Evan Dimas dan Illham Udin Armaiyn dari pasukan Bhayangkara FC yang telah menandatangani kontrak bersama skuad Gergasi Merah itu, masih belum melaporkan diri kepada pasukan itu.

Berikutan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal mahu mengadakan pertemuan dengan PSSI untuk menyelesaikan masalah itu.

Kuala Lumpur yang kembali semula ke Liga Super selepas lima tahun, buat masa ini telah mengikat bekas perancang tengah Selangor dan Sarawak, Junior Aparecido selain mengekalkan tiga pemain import sedia ada, iaitu pemain pertahanan Boburjon Akbarov (Uzbekistan), pemain tengah Paulo Josue dan penyerang Guilherme de Paula, kedua-duanya dari Brazil.

Sementara itu, Nokman turut mengesahkan bahawa skuad ‘The City Boys’ akan menguji Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (Stadium KL) di Cheras menerusi aksi persahabatan bersama pasukan PKNS FC, pada pukul 8.30 malam esok.

“Masalah permukaan padang yang tidak rata telah diselesaikan oleh pihak kontraktor dan sekarang ini hanya lampu limpah sahaja yang belum tahu bagaimana. Esok merupakan kali pertama kita bakal bermain di stadium itu.

Kami mahu mendapatkan pandangan dan komen daripada pemain kami dan juga PKNS FC mengenai stadium itu. Sekiranya semua berada dalam keadaan baik, kami akan meminta pihak FMLLP (Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia) untuk membuat pemeriksaan bagi digunakan sebagai gelanggang rasmi Kuala Lumpur pada musim depan,” katanya.

Kuala Lumpur yang merupakan juara Piala Malaysia tiga kali berturut-turut bermula 1987, layak beraksi di Liga Super 2018, selepas muncul juara Liga Perdana 2017 berdasarkan perbezaan jaringan, walaupun terikat 47 mata dengan Terengganu. -Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.