Permulaan sempurna buat Nicol
Ratu skuasy negara Datuk Nicol David memulakan kempen beliau dengan kemenangan apabila mara ke pusingan kedua pada Tournament of Champions (ToC) di New York, Amerika Syarikat pada Ahad (awal pagi Isnin waktu tempatan).
Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 34 tahun itu yang juga juara pada 2014, mengambil masa hanya 27 minit untuk menewaskan pesaing dari Kanada Samantha Cornett, dengan mata 11-7, 11-3 dan 11-4 menerusi perlawanan di dalam gelanggang kaca di Grand Central Terminal, menurut laman sesawang kejohanan itu www.tocsquash.com.
Nicol, pemain pilihan keenam akan menemui pemain pilihan kesembilan Joelle King pada perlawanan pusingan kedua, lewat Isnin (Selasa waktu tempatan).
Pemain New Zealand mara ke pusingan seterusnya selepas perlawanan sengit dengan 11-3, 8-11, 11-3 dan 11-4 ketika menentang pemain Mesir Heba El Torky dalam perlawanan pusingan pertama.
Malaysia tidak menghantar sebarang wakil bagi kategori lelaki kejohanan. -Bernama

