Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Bibi resah lihat prestasi longlai Kelantan
Diterbitkan:  Feb 12, 2018 4:34 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

LIGA SUPER | Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan resah dengan prestasi pasukan negeri itu yang kurang memuaskan selepas tiga perlawanan saingan Liga Super 2018 berlangsung.

Bibi Ramjani berkata prestasi tersebut memberi tekanan kepadanya selaku pemimpin persatuan, terutama pada tahun pertama menerajui KAFA.

"Daripada sembilan mata maksimum, Kelantan hanya memperoleh satu mata di tempat sendiri dan tercicir enam mata di gelanggang lawan. Ia cukup memberi keresahan kepada pihak pengurusan,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu hari ini.

Kelantan kini berada di kedudukan tercorot dalam carta liga, dengan hanya mengutip satu mata ketika seri 1-1 bertemu Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV dan tewas dua perlawanan di tempat lawan.

Bibi Ramjani berkata kemelut prestasi itu tidak boleh dibiarkan berterusan dan barisan jurulatih serta pemain harus memperbaiki serta mengkaji corak permainan mereka.


Baca: Weah potong gaji demi Liberia


Sehubungan itu, beliau akan meminta laporan penuh tiga perlawanan itu daripada Ketua Jurulatih Kelantan Sathit Bensoh serta memanggil semua pemain untuk duduk berbincang berkaitan prestasi pasukan.

"Tempoh dua minggu liga berehat seharusnya pasukan sudah mempunyai perancangan supaya keputusan perlawanan yang mengecewakan tidak akan berulang pada perlawanan seterusnya,” kata beliau.

Setakat ini, Bibi Ramjani berkata beliau masih belum memikirkan untuk membuat rombakan terhadap pasukan berikutan beliau serta barisan pengurusan perlu menilai terlebih dahulu laporan yang dikemukakan ketua jurulatih pasukan.

"KAFA bukan individu, kita ada jawatankuasa melalui anggota exco yang dilantik bagi mengetuai jawatankuasa pengurusan pasukan, apa-apa keputusan perlu diambil daripada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan yang akhirnya merugikan pasukan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS