Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Suarez ucap 'Selamat Tahun Baru Cina' dengan 'vanakkam'
Diterbitkan:  Feb 18, 2018 4:17 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Penyerang Barcelona Luis Suarez yang dilantik sebagai duta Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) pada tahun lalu mengucapkan selamat Tahun Baru Cina menggunakan perkataan 'vanakkam' (ucapan salam dalam Tamil) dengan latar belakang Batu Caves.

"Selain merayakan dan merasai pengalaman budaya yang majmuk di Malaysia, saya juga belajar beberapa perkataan Malaysia.

"Selamat Tahun Baru Cina semua. Malaysia sebuah negara yang merayakan kepelbagaian," ciap Suarez di Twitter bersama pautan video Tourism Malaysia.

Walaupun ciapan beliau itu kelihatan seperti ucapan biasa Tahun Baru Cina ia dikatakan dapat dibuat dengan lebih baik jika Suarez menghantar gambar paparan skrin beliau berserta ucapan ni hao (ucapan salam dalam Mandarin) pada hantaran Twitter beliau.

Dalam video sepanjang 19 saat itu, Suarez mengucapkan ucapan salam dalam Bahasa Malaysia, Mandarin dan Tamil lengkap dengan pakaian tradisional masing-masing kaum.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini mempertahankan keputusan melantik Suarez sebagai duta Tourism Malaysia, walaupun memiliki sejarah masalah disiplin di atas padang.

Nazri berkata Suarez tidak patut dihukum atas perkara yang terjadi pada masa lalu.

Menerusi kerjasama dengan FC Barcelona, iklan Tourism Malaysia ditayangkan di 18 stadium ketika perlawanan La Liga itu.

Menurut Nazri kerajaan membelanjakan sejumlah RM7.5 juga untuk keseluruhan kempen termasuklah RM4.4 untuk iklan.

"RM3.1 juta untuk kos empat video berdurasi 60 saat (setiap video), menampilkan Suarez mempromosikan destinasi pelancongan, budaya, makanan dan sukan tradisional di Malaysia melalui media sosialnya dan Tourism Malaysia," katanya.

Tourism memeterai kerjasama selama setahun dengan pemain kebangsaan Uruguay berusia 30 tahun itu pada November tahun lalu.

Untuk rekod, Suarez ketika bermain untuk kelab Liverpool FC digantung 10 perlawanan selepas menggigit pemain Chelsea Branislav Ivanovic pada 2013.

Setahun kemudian, beliau digantung 9 perlawanan untuk negaranya, selepas menggigit pemain Italy Giorgio Chiellini pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 2014.


 

Lihat Komen
ADS