Diaz - kabur dari JDT bakal muncul di Bandung?
Selepas 'hilang' daripada skuad JDT, masa depan pemain Argentina, Jorge Pereyra Diaz, kini dikaitkan dengan pasukan Persib Bandung.
Antara lain desas-desus itu hadir kerana bekas pengendali JDT, Mario Gomez, kini menjadi ketua jurulatih pasukan yang bersaing di Liga 1 itu.
Ia dikuatkan lagi dengan keadaan Persib Bandung yang memang memerlukan seorang lagi pemain import tambahan.
Buat masa ini Persib Bandung baru memiliki seorang pemain luar, Ezechiel N Douassel, yang berasal dari Chad.
Media dalam talian di Indonesia melaporkan pemain yang memiliki 'nafsu' yang setajam Diaz adalah ramuan yang diperlukan Persib Bandung.
Diakui penyerang berkualiti
Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini Diaz menjaringkan 50 gol dalam Liga Super di Malaysia.
Malah Diaz adalah pemenang kasut emas pada 2016.
Turut menaikkan 'saham' Diaz ialah pembabitannya bersama JDT membantu kelab bola sepak berkenaan menjuarai Liga Super.
Diaz menyertai JDT ketika skuad berkenaan dalam perjalanan dari Johor ke Vietnam untuk menyertai perlawanan Piala AFC menentang kelab Song Lam Nghe An.
Bagaimanapun ketika pasukan berkenaan transit di Singapura, Diaz meninggalkan hotel dan 'ghaib' tanpa mendapat izin JDT.
Pada perlawanan yang berlangsung di Vinh kemudiannya JDT tunduk 0-2. Jurulatih JDT Raul Longhi menyalahkan keadaan padang sebagai punca mereka kecundang.
Bagaimanapun jika benar Diaz bercadang menyertai Gomez (gambar) di Persib Bandung, langkahnya mungkin tidak semudah dijangka.

Sesuai dengan sifatnya yang menghilang begitu saja daripada JDT, Diaz berdepan dengan masalah sijil perpindahan antarabangsa (ITC).
JDT juga menegaskan tidak akan mengeluarkan ITC kepada mana-mana kelab yang ingin mengambil Diaz sebagai pemain.
Sementara itu Gomez memberitahu jika Diaz hadir ke Bandung, ia bukanlah kerana dirinya ada di situ.
"Saya mendapat tahu Diaz meninggalkan JDT tetapi saya tidak tahu mengapa dia berbuat demikian," katanya.
Namun di sebalik itu Gomez mengakui Diaz seorang penyerang yang berkualiti.

