Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Aubameyang dipuji tak kecewakan peminat
Diterbitkan:  Mar 6, 2018 9:21 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Bagaimanakah meredakan kesedihan peminat selepas gagal memberi kemenangan kepada penyokong pasukan sendiri?

Dengan melayan penyokong yang hadir di stadium dan menunjukkan kerendahan hati.

Mungkin itu yang dibuktikan pemain Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, selepas gagal mendapat sebarang mata ketika bertandang ke Stadium Falmer bagi menghadapi kelab Brighton.

Dalam perlawanan berkenaan anak buah Arsene Wenger tunduk 1-2 kepada pemain yang diasuh Chris Hughton.

Aubameyang menjaringkan gol tunggal Arsenal dan keputusan kekal sehingga tamat permainan.

Semasa pemain bersalaman dan bersedia untuk ke bilik persalinan, seorang peminat kelihatan berdiri sambil menjulang satu sepanduk buatan sendiri.

Pada sepanduk itu tertera ayat: "Aubameyang. Boleh tak saya dapat baju anda? #SuperHero #BiggestFan."

Aksi penyokong pasukan tuan rumah itu turut menarik perhatian jurukamera TV yang membuat liputan perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun hajat penonton terbabit tidak kesampaian apabila Aubameyang berlalu begitu saja.

Penonton berkenaan - yang dikenali sebagai Luca Jex - lalu menggunakan Twitter untuk menyatakan rasa sedihnya.

"Hai Aubameyang, saya ni dapat perhatian Sky Sports tapi baju anda pun saya tak dapat?" katanya.

Tanpa diduga pemain antarabangsa Gabon berkenaan membalas ciapan Jex.

"Maaf, saya nampak anda tapi saya sudah bertukar jersi dengan seorang pemain Brighton. Mesej kepada saya alamat kamu. Nanti saya akan hantarkan," ciapnya.


Baca Ada tak kena dalam kem Arsenal


Sikap Aubameyang itu segera mendapat pujian ramai yang menyatakan penghargaan masing-masing di Twitter.

Aubameyang bermain sepanjang 90 minit semasa perlawanan itu namun Arsenal mengalami kekalahan kali keempat berturut-turut dalam persaingan berbeza yang mereka sertai.

Ia juga meningkatkan tekanan kepada Wenger ketika sebahagian peminat sudah mendesaknya untuk meninggalkan kelab berkenaan supaya pembaharuan dapat dilakukan.

The Gunners berada di tempat keenam ketika ini dan dijarakkan dengan 33 mata daripada pendahulu Manchester City, atau 13 mata daripada pasukan tempat keempat.

Lihat Komen
ADS