Ozil tak perlu kata-kata jawab kecaman orang lama
Pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil, dinamakan sebagai salah seorang watak yang perlu dijual jika Arsene Wenger tidak lagi bertakhta bersama The Gunners.
Orang yang memberi cadangan itu pula bukanlah asing. Dia sendiri dianggap salah seorang legenda Arsenal, iaitu Martin Keown.
Selain Ozil, mata Keown melihat Granit Xhaka dan Shkodran Mustafi (gambar) juga perlu mencari majikan lain jika Wenger tiada lagi bersama Arsenal.

Namun awal pagi tadi ketiga-tiga mereka menunjukkan tanggapan Keown mungkin tersilap.
Ozil sendiri memberikan sentuhan yang diperlukan kelabnya untuk membuka jalan bagi kedua-dua gol Arsenal ketika mereka mengatasi AC Milan.
Dalam perlawanan peringkat 16 pasukan kalah mati di Allianz Arena itu Henrikh Mkhitaryan menjadi penjaring gol pertama sebelum kedudukan Arsenal diperkukuhkan lagi oleh Aaron Ramsey.
Menariknya kedua-dua gol berkenaan terhasil atas jasa umpanan Ozil.
Siapa mahu Ozil
Dengan bekalan dua gol itulah The Gunners akan melayan kunjungan anak buah Gennaro Gattuso di London pada 16 Mac nanti dan berharap mampu melangkah lebih jauh ketika nasib mereka di saingan EPL masih terumbang-ambing.
Secara statistik, pemain antarabangsa Jerman berkenaan setakat ini sudah terlibat dalam 100 gol Arsenal membabitkan 37 jaringan dan 63 umpanan.
Semalam Keown memberitahu wartawan, jika Wenger menamatkan khidmatnya bersama The Gunners nanti si pengganti perlu membuat 'pembersihan' besar-besaran.

Antara pemain yang terancam, kata Keown, ialah Ozil. Kecuali permain berusia 29 tahun itu membuktikan jasanya secara signifikan membawa Arsenal kembali bersaing dalam Liga Juara-juara pada musim depan.
Begitu juga Xhaka dan Mustafi.
Namun kata Keown, pengurus baru itu nanti berkemungkinan besar akan mengagumi dedikasi ditunjukkan Jack Wilshere selama ini.
Baca George Weah potong gaji sendiri demi Liberia
"Pengurus baru yang disebut-sebut datang pada hujung musim ini mungkin mahu menjual Ozil.
"Saya tak pasti pula siapa akan membeli dia," katanya.
Alasan Keown, Ozil bukan sejenis pemain yang menunjukkan kesungguhan sepenuhnya di atas padang.
Sementara itu mengulas kemenangan awal pagi tadi, Wenger berkata dia berpuas hati dengan semangat ditunjukkan pemain Arsenal.
"Cuma rentak permainan kami menurun pada separuh masa kedua. Kami agak terlalu berhati-hati namun kami bertahan dengan baik sambil sesekali membuat serangan balas," katanya.
Keown, 51, menjadi pemain pertahanan untuk The Gunners sejak 1984 hingga 2005.
Secara keseluruhan dia tampil lebih 400 kali bersama kelab berkenaan dan memenangi 10 piala.
Keown juga pernah mewakili England sebanyak 43 kali. Dia hadir bersama pasukan The Three Lions untuk temasya Piala Dunia 1998 dan 2002.

