Malaysiakini

Jenuh Sanchez kena kutuk

Sukan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

LIGA JUARA-JUARA | Dapat difahami kesedihan yang dialami pemain, pengurus dan penyokong pasukan Manchester United (Man United) ekoran tersingkirnya mereka daripada saingan Liga Juara-juara awal pagi tadi.

Namun kesedihan paling parah mungkin dirasai Alexis Sanchez yang dikecam, disindir dan ditertawakan oleh ramai orang.

Sanchez, 29, berhijrah ke Old Trafford Jan lalu dengan reputasi - dan harapan peminat - yang sangat tinggi selepas berjaya beraksi dengan baik bersama Arsenal sebelum ini.

Namun semasa pertemuan dengan Sevilla, awal pagi tadi kelibat Sanchez dianggap tidak membantu pasukannya sehingga mereka terpaksa tunduk 1-2 kepada kelab Sepanyol itu.

Lebih pilu Man United terkulai di gelanggang sendiri.

Berang dengan prestasi pemain antarabangsa Chile itu, legenda Man United, Paul Scholes, mencadangkan Jose Mourinho supaya menggugurkan pemain terbabit.

Sebaliknya Scholes berkata Mourinho sepatutnya meletakkan kepercayaan kepada pemain lain seperti Marcus Rashford atau Anthony Martial.

Dalam perlawanan menentang Liverpool pada Sabtu lalu Rashford menyumbang dua gol untuk membenam keegoran skuad The Reds itu.

Rashford, Martial diketepi

Sejak menyarung jersi Man United Sanchez hanya berjaya menjaringkan satu gol.

"Rashford bermain di bahagian kiri dengan mengagumkan dan cemerlang," kata Scholes seperti dipetik Daily Star hari ini.

Kemarahan itu memang ada asasnya.

Sepanjan bermain menentang Sevilla, Sanchez beraksi 'cemerlang' untuk pasukan lawan apabila terlepas kawalan bola sebanyak 42 kali.

Ia adalah rekod terbanyak pernah dicatatkan mana-mana pemain dalam saingan Liga Juara-juara musim ini.

Semasa menentang Liverpool pula dia kehilangan bola sebanyak 47 kali!

Kadar ketepatan hantaran Sanchez pada separuh masa pertama pula sekadar 62 peratus dan paling rendah berbanding pemain lain yang diturunkan pada perlawanan itu.

 

 

 

Ia juga rekod peribadi tertinggi oleh mana-mana pemain bagi tempoh musim kali ini.

Bekas bintang Arsenal dan pemain antarabangsa Scotland, Charlie Nicholas pula menganggap Sanchez tidak layak bermain untuk Man United.

"Pada permulaan musim Paul Pogba bergandingan baik dengan Jesse Lingard serta Romelu Lukaku.

"Tiba-tiba Sanchez datang. Marcus Rashford diketepikan dan Anthony Martial diletakkan ke posisi lain.

"Tak semena-mena pasukan itu diubah suai untuk disesuaikan dengan Sanchez sedangkan buat masa ini dia tak layak berada dalam skuad itu.

"Dia terlalu tamak dan selalu sangat terlepas bola. Saya yakin penyokong Man United sedang tertunggu-tunggu bila Sanchez nak berjasa kepada pasukan itu," katanya.


Baca Najib menganjing peminat Liverpool lagi


Dalam perlawanan 16 terakhir Liga Juara-juara itu kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga minit ke-74 apabila Wissam Ben Yedde membuat tendangan leret ke kiri gawang Man United.

Pemain kelahiran Perancis itu sekali lagi menggegarkan gawang dengan tandukannya yang sempat ditampan David de Gea namun bola melepasi garisan gol untuk membuat pemain serta penyokong Sevilla bertempik riang.

Gol saguhati disumbangkan Lukaku pada minit ke-84 pula sekadar memberi calar buat pasukan pelawat.

Seperti selalu media sosial dibanjiri dengan pelbagai senda gurau serta ejekan buat kelab dari Inggeris itu.

Untuk rekod Man United kini berada di tangga kedua EPL dengan 65 mata, manakala Sevilla adalah kelab di tempat kelima La Liga dengan 45 mata.